Selasa, 4 Disember 2018 | 10:46am
NURUL Amanina menunjukkan gambar mukanya yang mengalami kegatalan akibat menggunakan produk kosmetik buatan tempatan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kosmetik beracun terus berleluasa di pasaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa bertindak tegas menyekat produk penjagaan kulit yang sudah disenarai hitam kerana mengandungi racun daripada terus berada di pasaran.

Ini berikutan produk berkenaan masih dijual secara berleluasa hingga mengancam keselamatan pengguna, khususnya wanita yang tidak menyedari kesan penggunaannya terhadap kesihatan kulit.

Mangsa pengguna yang ditemui mempersoalkan mengapa produk masih dijual sedangkan sudah disenarai hitam sejak beberapa tahun lalu.

Nurul Amanina Rahim, 24, berkata produk penjagaan wajah terkenal pernah digunakan hampir tiga tahun lalu mengakibatkan jerawat teruk, masih dijual di kebanyakan kedai jamu di sebelah utara negara.

“Saya berharap, kementerian mengambil tindakan menyekat produk ini daripada terus dijual kerana mendatangkan kesan sampingan ke atas kulit seperti jerawat dan bernanah, jerawat pasir, kulit gelap dan kusam.

“Ramai mengalami nasib seperti saya selepas menggunakan produk ini, tetapi apabila mengemukakan aduan, tiada pihak bertanggung jawab mengambil tindakan,” katanya.

Risiko kanser kulit

Bagaimanapun, Nurul Amanina berhenti menggunakan produk berkenaan selepas tiga tahun apabila menyedari penggunaan berterusan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang serta risiko kanser kulit.

“Kini saya memilih produk yang disahkan selamat di farmasi bagi merawat masalah kulit muka,” katanya.

Nur Azny Salehuddin, 23, turut mendesak tindakan tegas diambil bagi menghalang produk penjagaan kulit yang sudah disenarai hitam daripada terus dijual.

Beliau terpaksa berhenti menggunakan krim wajah yang digunakan sejak lebih dua tahun, selepas rakannya mengalami komplikasi teruk kesan menggunakan produk sama.

“Sebaik berhenti menggunakannya, kulit menjadi kusam kemerahan, menggelupas dan panas sehingga pedih apabila dilap.

“Nasib baik kerana ketika itu saya sedang menjalani latihan industri sejuk beku kerana kilang tempat bekerja dilengkapi pendingin hawa mengurangkan kepedihan wajah,” katanya.

Nur Azny kesal walaupun ramai sudah menjadi mangsa produk pelbagai jenama yang sudah diharamkan, masih ada dijual secara berleluasa di pasaran.

Sementara itu, Pakar Farmakologi dan Toksilogi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ahmad Rohi A Ghazali, berkata krim kulit beracun dikenali melalui warnanya kelihatan bersinar, terang atau kusam serta berbau.

“Apabila disapu pada kulit, pengguna mengalami kesan panas terbakar.

“Sel lapisan kulit paling atas atau luar rosak kesan terhakis, menjadikan kulit licin seakan telur rebus dikupas.

PAKAR Farmakologi dan Toksilogi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Prof Dr Ahmad Rohi A Ghazali. - NSTP/Rosela Ismail

Kerosakan buah pinggang

“Sekiranya sudah terlalu lama menggunakan produk ini, kulit mula menyesuaikan dengan kesan mudarat dan apabila berhenti menggunakannya, kulit ‘terkejut’ dan bertindak balas seperti mengeluarkan jerawat serta bernanah,” katanya.

Semua bahan ini memberikan kesan dan paling kronik menyebabkan kanser kulit, selain kerosakan organ lain, terutama buah pinggang.

“Produk kosmetik dan penjagaan kulit yang semakin banyak dikeluarkan oleh Original Equipment Manufacturer (OEM) perlu mendapat pengiktirafan daripada KKM menerusi pelbagai jenis ujian ketoksikan,” katanya.

Berita Harian X