Isnin, 10 Disember 2018 | 10:46am

Kanak-kanak jilat hingus tanda berpenyakit

Jangan tipu jika tidak pernah melalui zaman hidung hingus hijau dan berkerak, malah tidak segan silu dengan tabiat mengorek hidung ketika zaman kecil.

Pemandangan biasa melihat ada kanak-kanak gemar menjilat hingus yang meleleh sehingga ke bibir atau mengelap dengan baju dipakai.

Keadaan itu tidak dianggap biasa kerana ia memerlukan petanda kanak-kanak kurang sihat dan memerlukan rawatan bagi mengelak penyakit lebih serius.

Pakar Otoriolaringologi, UITM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, berkata situasi itu bukan perkara normal.

"Kemungkinan besar ia berlaku disebabkan penyakit dinamakan Allergic Rhinitis (Alahan Rhinitis).

Hidung berhingus, bersin dan hidung tersumbat kebiasaannya berlaku pada awal pagi.

"Jika dibiarkan berterusan tanpa rawatan, ia boleh membawa kepada gejala sinusitis (resdung),"katanya.

HIDUNG berhingus, bersin dan hidung tersumbat kebiasaannya berlaku pada awal pagi.- Foto hiasan
HIDUNG berhingus, bersin dan hidung tersumbat kebiasaannya berlaku pada awal pagi.- Foto hiasan

Beliau berkata, antara puncanya disebabkan alergan (agen penyebab alahan) atau perkara yang dihidu menyebabkan reaksi alahan.

Kebiasaannya disebabkan debu, habuk, hama dan udara sejuk atau alahan kepada makanan laut.

Justeru, beliau menyarankan bagi mengelakkan perkara itu, ibu bapa boleh mengambil langkah pencegahan dengan memastikan persekitaran rumah dalam keadaan bersih.

"Saya cadangkan cadar, langsir dan sofa dibersihkan setiap dua minggu, Elakkan anak menikmati makan laut jika ia punca kepada masalah ini.

"Kalau berjumpa dengan pakai Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), biasanya mereka akan diberi semburan hidung (nasal spray) dan ubat anti histamine untuk mengawal masalah ini,"katanya.

Keadaan ini biasanya boleh berlaku pada kanak-kanak bermula dari seawal dua tahun hingga 12 tahun.

"Mengenai lelehan hingus jika berwarna putih ia masih belum dijangkiti bakteria.

"Bagaimanapun, apabila ia bertukar pada kuning dan hijau anda perlu berbuat sesuatu. Ia berlaku disebabkan jenis bakteria dan peringkat serangan.

“Kebiasaannya, hingus dengan warna kehijauan akan dialami sebelum pesakit sembuh," katanya.

Beliau berkata, rawatan terbaik adalah dengan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor apabila melihat situasi ini berlaku kepada anak.

IBU bapa perlu membawa anak untuk membuat pemeriksaan masalah lebih teruk dan dijangkiti baktera. - Foto hiasan
IBU bapa perlu membawa anak untuk membuat pemeriksaan masalah lebih teruk dan dijangkiti baktera. - Foto hiasan

"Pemeriksaan biasanya dilakukan untuk melihat keadaan dalam hidung. Ia untuk memastikan penyebabnya bukan perkara lain seperti benda asing dalam bidang ( biasanya kerap terjadi pada kanak-kanak) ataupun sebarang ketumbuhan.

“Apabila sudah pasti ia alahan rhinitis, rawatan untuk mengawal penyakit menggunakan semburan hidung dan juga ubat anti histamine,"katanya

Katanya, 80 peratus punca situasi ini disebabkan habuk, debu atau hama dan selebihnya mungkin disebabkan bulu kucing dan makanan laut.

"Jika mahu mengetahui punca sebenar keadaan ini, ujian kulit untuk setiap alergen perlu dilakukan untuk melihat sebab utama," katanya.

Berita Harian X