Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:50am
- Foto Hiasan

EKSKLUSIF: Ubat titis didakwa boleh terangkan mata bahaya

KUALA LUMPUR: Penjualan ubat titis mata melalui media sosial kini berleluasa dengan dakwaan kononnya ramuan yang mengguna pakai bahan semula jadi itu mampu menyelesaikan pelbagai masalah termasuk rabun dan katarak.

Dakwaan keberkesanan itu menimbulkan keraguan berikutan dua masalah penglihatan berkenaan selama ini dikatakan hanya mampu dirawat melalui pembedahan, khususnya lasik atau pembetulan penglihatan untuk ralat pembiasan bagi mengatasi rabun.

Tinjauan mendapati, produk titis mata menggunakan pelbagai jenama dipasarkan melalui laman sosial dengan tawaran bermula RM50, namun ada berstatus premium dengan harga mencecah ribuan ringgit untuk merawat masalah penglihatan lebih serius.

Untuk menarik pelanggan, peniaga mendakwa produk terbabit selamat tanpa kesan sampingan dengan harga murah digunakan sebagai modal pemasaran, selain membandingkan kos pembedahan tinggi diperlukan bagi merawat rabun dan katarak.

Testimoni pelanggan meragukan

Testimoni pelanggan dengan pelbagai bukti keberkesanan turut dilampirkan, termasuk mendakwa tidak lagi menggunakan kaca mata selepas hanya sebulan menggunakan ubat titis mata itu.

BH menghubungi peniaga satu daripada produk titis mata terbabit untuk mendapatkan keterangan lanjut dan mengejutkan apabila wanita itu mendakwa kesan penggunaan produk dapat dilihat seawal kali pertama penggunaan.

Peniaga terbabit turut mengesahkan ubat titis mata yang dijual mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, namun diklasifikasikan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagaimanapun, ketika ditanya lanjut peniaga mendakwa bukan sahaja masalah rabun, ubat titis mata itu mampu menyelesaikan masalah seperti selaput, silau, katarak, mata merah dan berair serta masalah saraf mata.

Keterangan jelas bertentangan ketetapan Peraturan-peraturan Makanan 1985, menetapkan apa-apa bahan yang dikilangkan, dijual atau didatangkan sebagai makanan atau minuman, tidak boleh dibuat sebarang tuntutan atau akuan perubatan.

Larangan tuntutan termasuklah pencegahan, rawatan atau penyembuhan sesuatu penyakit atau keadaan fisiologi yang lain.

Sekiranya ingin dibuat akuan perubatan terhadap penggunaannya, makanan terbabit perlu berdaftar terlebih dahulu dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Sementara itu, penggunaan ubat titis terutama yang mengandungi steroid yang didakwa berupaya merawat rabun sebenarnya berisiko mengundang masalah lebih teruk kepada deria penglihatan khususnya menyebabkan katarak atau glaukoma.

Pakar bedah mata, Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad, berkata tiada kajian ubat titis mata mampu merawat rabun kerana masalah itu hanya boleh diatasi melalui prosedur pembedahan dengan mengubah bentuk kornea, meletakkan atau menggantikan kanta dalam mata.

“Ubat titis yang dikatakan mampu menghilangkan rabun tidak benar kerana masalah itu disebabkan bola mata yang panjang atau bentuk kornea mungkin terlampau cembung.

“Apabila ubat dititiskan pada mata cecair diserap masuk dalam darah sahaja, jadi tiada kesan diberikan kepada bentuk mata,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas penjualan ubat titis mata melalui media sosial yang didakwa mujarab merawat masalah penglihatan termasuk rabun dan katarak.

Dr Muhaya berkata, pesakit pernah merujuk beliau dan memaklumkan tertipu dengan dakwaan penjual dan berhabis ratusan ringgit untuk membeli ubat titis merawat rabun ini.

“Seelok-eloknya, rujuk pakar dan teliti bahan digunakan sebelum mengambil sebarang ubat untuk mata.

“Kita perlu berhati-hati dan pastikan ubat digunakan tidak mengandungi steroid kerana bahan itu jika diletakkan lama dalam mata, menyebabkan glaukoma atau katarak,” katanya.

Terdedah risiko buta

Sementara itu, Pensyarah Optometri Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Elhami Wan Omar, berkata orang ramai perlu mendapatkan pemeriksaan mata lengkap dan nasihat daripada individu bertauliah seperti optometris dan doktor pakar mata (oftalmologis ) berkenaan cara menghilangkan rabun.

“Ubat titis mata hanya digunakan untuk merawat penyakit mata seperti glaukoma dan bukan menghilangkan rabun.

“Pengambilan ubat mata yang salah boleh mendedahkan mata kepada risiko jangkitan dan penyakit lain, malah lebih berisiko membawa kepada hilang deria penglihatan,” katanya.

Berita Harian X