Rabu, 2 Januari 2019 | 12:52pm
DR Feisul Idzwan memberi penerangan kepada wakil media ketika sesi interaksi Kementerian Kesihatan
DR Feisul Idzwan memberi penerangan kepada wakil media ketika sesi interaksi Kementerian Kesihatan

Kerjasama ahli keluarga kawal diabetes daripada melarat

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga perlu berperanan meningkatkan kesedaran membantu mengesan, mencegah dan merawat pesakit diabetes.

Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata laporan mendapati satu daripada dua orang menderita diabetes.

Beliau berkata, namun pesakit seolah-olah tidak mengetahui status penyakit mereka dan perlu orang berhampiran mengingatkannya.

Katanya, ini termasuk meminta mereka menemui doktor untuk diperiksa lebih kerap dan melakukan saringan kesihatan.

"Jika diabetes tidak dikesan awal dikhuatiri membawa komplikasi penyakit lebih teruk hingga membawa maut.

“Malah, dalam sesi pertemuan itu, ahli keluarga perlu berada bersama bagi mendengar penerangan doktor akan status penyakit, langkah yang perlu dilakukan dan pemakanan ubat yang betul,” katanya pada sesi interaksi Kementerian Kesihatan dengan wakil media sempena Hari Diabetes Sedunia 2018, baru-baru ini.

Turut hadir, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd Dziehan Mustapa; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin dan Pegawai Dietetik Kanan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Viola Michael.

Dr Feisul Idzwan berkata, kajian menunjukkan diabetes bermula sejak di peringkat janin iaitu ketika dalam kandungan.

Beliau berkata, kebiasaannya wanita mengandung akan menghidap diabetes kerana ketika proses itu tahap gula dalam darah tinggi, namun penyakit ini akan hilang selepas melahirkan.

“Bagaimanapun, jika tabiat makanan tidak berubah risiko menghidap diabetes amat tinggi walaupun bukanlah pesakit diabetes pada asalnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Suhazeli berkata, ahli keluarga perlu menjadi idola bagi memotivasikan ahli keluarga yang lain dengan mengamalkan gaya hidup sihat, sekali gus membantu menangani masalah penyakit berkenaan.

“Kalau boleh ahli keluarga pesakit diabetes mengamalkan ciri keluarga bahagian iaitu prinsip bersama, seperti ketika beribadah, makan, membuat kerja rumah dan berziarah.

“Pesakit diabetes lebih kerap memeriksa tapak kaki mereka sama ada perubahan warna, suhu, terdapat bengkak atau benjolan dan deria rasa atau sakit ketika berjalan. Ini boleh memberi amaran awal untuk segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Mengulas perkembangan sama, Viola berkata, karbohidrat berlebihan boleh menambah paras glukosa darah dan sekiranya berlaku hiperglisemia berterusan meningkatkan komplikasi diabetes.

“Pengambilan kalori berlebihan ditukarkan kepada lemak, meningkat risiko kardiovaskular. Pada masa sama menambah berat badan dan terdedah pelbagai penyakit tidak berjangkit.

“Saya menyaran ahli keluarga mengamalkan konsep pinggan sihat iaitu makanan seimbang dengan separuh mewakili buah-buahan dan sayur-sayuran, suku bahagian pengambilan sama ada ikan, daging, ayam, telur atau kekacang.

“Manakala suku lagi nasi atau produk berasaskan bijiran dan ubi. Pada masa sama pengambilan air kosong antara enam hingga lapan gelas sehari, membantu pesakit diabetes,” katanya.

Bagi Mohd Dziehan, kurangnya pengetahuan mengenai ubat dan jadual pengambilannya, menyaksikan berlakunya pembaziran ubat-ubatan.

“Pemeriksaan ke rumah pesakit diabetes, didapati ramai di antara mereka tidak menggunakan ubat yang diberikan, malah ada pula mengatakan penyakit tidak sembuh walaupun sudah menyuntik insulin dan memakan ubat.

“Selepas ditemubual mereka sebenarnya tidak tahu cara menggunakannya atau berapa jumlah ubat yang perlu dimakan. Akhirnya enggan meneruskan amalan memakan ubat.

“Amalan lebih percaya dan suka mengambil makanan tambahan berbanding ubat dibekalkan kementerian menyaksikan diabetes gagal dirawat dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sikap orang ramai lebih percaya dengan lambakan maklumat di media sosial yang tidak diketahui kebenarannya berbanding bertemu doktor bagi mendapat rawatan, turut merangsang peningkatan pesakit diabetes.

“Kajian mendapati 91 peratus orang mengakses internet untuk mengetahui penyakit dan simptom, mencari tip penjagaan kesihatan (89.8 peratus), kaedah rawatan (83.5 peratus), informasi perubatan/dadah (73.7 peratus) dan tempat mendapatkan rawatan (63.8 peratus).

“Daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus mempercayai apa yang dihidangkan menerusi media sosial berbanding 0.5 peratus tidak mempercayainya,” katanya.

INFO

* Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 422 juta penduduk dunia menghidap diabetes 2016;

* Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS)

2015 seramai 3.6 juta (17.7 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun pengidap diabetes;

* Malaysia membelanjakan RM2 bilion setahun untuk rawatan komplikasi diabetes pada 2011;

* Dijangkakan Malaysia belanja RM3 bilion bagi tujuan yang sama pada 2020.

Berita Harian X