Isnin, 28 Januari 2019 | 10:23am
KAJIAN mendapati marijuana atau kanabis dengan dos yang kecil berupaya merangsang pertumbuhan neuron baharu di dalam otak. - foto hiasan

EKSKLUSIF: Marijuana bantu rangsang saraf otak mati

KUALA LUMPUR: Penyelidik Neurosains Universiti Putra Malaysia (UPM), mendapati penggunaan marijuana atau kanabis boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan antaranya mampu merangsang pembentukan saraf otak yang sudah mati.

Ketua Penyelidiknya, Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas, berkata kanabis pada dos rendah boleh memberi kebaikan daripada sudut kesihatan tetapi mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil melebihi 2mg/kg.

Katanya, kajian berkaitannya dijalankan sejak dua tahun lalu membabitkan empat kumpulan tikus yang menerima suntikan Tetrahidrokannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif yang diekstrak daripada kanabis pada dos serendah 0.5 miligram (mg), 1.0 mg, 1.5 mg dan 2.0mg/kilogram (kg).

Beliau menjelaskan tikus yang menerima suntikan THC 2.0 mg/kg menunjukkan fungsi kognitif menurun atau merosot tetapi sebaliknya tikus yang menerima dos serendah 1mg/kg, menunjukkan tanda positif pertumbuhan neuron baharu dengan fungsi kognitif normal.

Beliau bertugas di Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, yakin hasil kajian itu memberikan petunjuk penggunaan kanabis bermanfaat dalam merawat penyakit berkaitan sel saraf otak seperti alzheimer atau nyanyuk.


Dr Mohamad Aris Mohd Moklas. - foto Rosela Ismail

“Sekiranya terbukti boleh merangsang sel saraf baharu, ini bermakna kanabis boleh digunakan untuk merawat pesakit alzheimer atau nyanyuk yang berpunca daripada saraf otak mati.

“Kajian mendapati, kanabis boleh meningkatkan neurogenesis iaitu merangsang pertumbuhan neuron pada tikus normal berdasarkan petunjuk protein di dalam otak selepas diberikan suntikan pada dos tertentu.

“Apa yang boleh disimpulkan daripada kajian itu adalah kanabis pada dos yang kecil berupaya merangsang pertumbuhan neuron baharu di dalam otak.

“Kanabis mengandungi banyak bahan aktif terutama Tetrahidrokannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif digunakan di kebanyakan negara dalam bentuk tablet untuk merawat penyakit,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Thailand memutuskan membenarkan penggunaan ganja secara sah di sisi undang-undang bagi tujuan perubatan dan penyelidikan di negara itu, sekali gus muncul selaku negara pertama di rantau ASEAN yang berbuat demikian.

Berikut itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, syarikat farmasi perlu membuat kajian sendiri sekiranya berhasrat untuk membawa masuk ubat-ubatan yang mengandungi dadah, termasuk ganja ke negara ini.

Bagaimanapun, Dr Mohamad Aris berkata THC boleh menyebabkan halusinasi, merubah pemikiran dan delusi tetapi jumlah dimasukkan ke dalam ubat adalah rendah dan digabungkan dengan Kannabidiol (CBD) yang tidak menyebabkan khayal.

Di luar negara, berapa dos digunakan adalah bergantung kepada jenis penyakit dan adakah ia turut membabitkan ubatan jenis lain.


Penyelidik Neurosains UPM, mendapati penggunaan marijuana atau kanabis boleh dimanfaatkan dalam bidang perubatan mampu merangsang pembentukan saraf otak mati. - foto hiasan

Sebagai contoh Sativex yang digunakan untuk merawat kesakitan, menggunakan empat semburan sehari yang mana setiap semburan mengandungi 2.7 mg THC.

Pesakit membuat semburan mengikut simptom masing-masing dengan jumlah maksimum 12 semburan sehari.

THC dan CBD turut digunakan bersama dalam ubat Sativex untuk melegakan kekejangan otot yang berlaku dengan sklerosis berganda (MS) iaitu penyakit auto imun yang menyerang otak.

“Tumpuan kajian kini adalah membangunkan model haiwan untuk penyakit neurodegeneratif seperti alzheimer dan parkinson yang berlaku akibat penyusutan saraf.

“Kajian menggunakan kanabis terhadap model haiwan untuk penyakit alzheimer mengambil masa dan kos yang tinggi,” katanya.

Ketika ini, penggunaan kanabis sudah diamalkan dan dibenarkan lama di peringkat global terutama membabitkan 32 negara dengan dos yang terkawal bagi merawat penyakit.

Antara negara yang membenarkan penggunaannya adalah Argentina, Australia, Kanada, Croatia, Estonia (dengan permit khas), Jerman (dengan preskripsi), Itali dan terbaharu, Thailand.

Bagaimanapun, penggunaan itu mesti mengikut formulasi khas dengan dos terkawal dan dipreskripsi oleh doktor atau pakar yang dilantik.

Ini kerana penggunaan secara persendirian tanpa nasihat pakar boleh mendatangkan kesan buruk termasuk ketagihan dan kerosakan sel saraf otak khususnya dalam jangka panjang dengan dos tinggi.

Bagaimanapun, katanya penggunaan kanabis untuk tujuan rawatan perubatan di luar negara hanya digunakan dalam tempoh terhad untuk mengelakkan kesan sampingan tidak diingini.

“Sebarang ubat atau dadah yang digunakan dalam tempoh panjang tidak dinafikan boleh meninggalkan kesan buruk.

“Selain ketagihan, kanabis boleh mengkhayalkan sekiranya digunakan secara berlebihan atau disalah gunakan tetapi tidak akan berlaku sekiranya ia dihasilkan menerusi formulasi khas dan dos terkawal,” katanya.

Beliau mendedahkan kebanyakan penduduk Malaysia terpaksa ke negara yang mengiktiraf penggunaan kanabis untuk mendapatkan rawatan epilepsi atau sawan, mengurangkan kesakitan akibat penyakit kronik seperti kanser dan kesan kemoterapi termasuk muntah serta pening.

Katanya, kanabis banyak digunakan dalam rawatan ayurveda dan dikenali sebagai ‘vijaya’ dan bahagian daun diambil daripada pokok jantan dan betina dikenali sebagai Bhang untuk merawat tekanan darah tinggi.

Pengamal ayurveda juga menggunakan jus daripada daun untuk mengurangkan tekanan intra okular (glaukoma) dan merangsang sistem saraf dalam jangka masa pendek.

“Sudah sampai masanya, kerajaan melihat kembali dan memberi akses geran penyelidikan yang lebih meluas agar potensi kanabis dalam merawat penyakit tertentu dapat dieksploitasi.

“Pada masa sama, kita juga harus turut meneliti justifikasi negara tetangga kita, Thailand yang membenarkan penggunaan formulasi daripada kanabis dalam rawatan perubatan, " katanya.

Info

* Kesan sebatian kanabis:

1. THC:

- Meningkatkan selera dan mengurangkan mual.

- Mengurangkan kesakitan, radang (bengkak) dan masalah kawalan otot.

- Boleh menyebabkan khayal

2. CBD:

- Tidak menyebabkan khayal

- Mengurangkan kesakitan dan radang

- Mengawal serangan sawan atau epilepsi

- Berkemungkinan merawat masalah mental dan ketagihan

* Kesan ke atas kanser:

- Membunuh sel kanser

- Mengurangkan saiz kanser

- Memperlahankan perkembangan sel kanser dalam ketumbuhan otak

Berita Harian X