Sabtu, 23 Februari 2019 | 11:05am
SENAMAN kaedah terbaik bantu individu memiliki otak cerdas dan tubuh cergas. - foto hiasan
MENGGALAKKAN senaman seawal usia bagi menggalakkan fungsi otak dan kesihatan keseluruhan badan. - foto hiasan
PELUPA boleh dirawat. - foto hiasan

Bersenam elak nyanyuk, pelupa

Pelbagai cabaran menjaga ibu bapa berusia, terutama jika mereka berhadapan masalah nyanyuk atau pelupa hingga menjejaskan kualiti hidup.

Kita tidak menyedari masalah itu sebenarnya ia boleh diatasi dengan melakukan senaman atau apa sahaja aktiviti fizikal untuk kecergasan, dilihat sebagai usaha terbaik mengelakkan pelupa (dementia) dan nyanyuk.

Sekumpulan pakar diketuai Profesor Jabatan Patologi dan Biologi Sel dan Perubatan, Universiti Columbia, Dr Ottavio Arancio, berkata senaman terbukti memberi peluang individu yang berhadapan masalah nyanyuk dan pelupa pulih secara semula jadi.

Dr Arancio berkata, ketika bersenam berlakunya proses pengeluaran hormon irisin dari otak yang baik untuk mengekalkan memori dalam kalangan penghidap alzheimer mahupun dementia.

Hormon membolehkan memori dalam otak individu terus kekal sekali gus mengelakkan daripada keadaan lupa.

Turut dikesan melindungi daripada kehilangan memori dan kerosakan pada otak sebaik sahaja individu selesai melakukan aktiviti berkenaan.

Kajian membuktikan hormon irisin berfungsi menggalakkan pertumbuhan sel otak hippocampus iaitu kawasan berkaitan dengan proses penyimpanan memori dan pembelajaran.


MENGGALAKKAN senaman seawal usia bagi menggalakkan fungsi otak dan kesihatan keseluruhan badan. - foto hiasan

Hanya dua bahagian otak berupaya memulihkan semula sel otak ketika usia dewasa di mana hippocampus adalah kawasan pertama mengalami kemerosotan.

“Menggunakan sampel tisu daripada bank otak, kajian mendapati irisan hadir dalam hippocampus dan tahap hormon hippocampal lebih rendah dalam kalangan individu yang menghidap alzheimer,” katanya.

Justeru, Dr Arancio menggalakkan aktiviti senaman seawal usia bagi menggalakkan fungsi otak dan kesihatan keseluruhan badan.

“Namun tidak semua berpeluang melakukan senaman terutama bagi mereka yang mengalami masalah seperti penyakit jantung dan arthritis,” katanya.

Pakar menyarankan, sekurang-kurangnya anda digalak melakukan aktiviti lebih santai antaranya berkebun. Ini sudah memadai bagi membolehkan penghidap alzheimer terus cergas.

Sebelum memulakan senaman pesakit dinasihat menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Ini bertujuan memastikan jenis senaman yang sesuai mengikut keupayaan pesakit.

Doktor lebih mengetahui pilihan senaman terbaik sama ada tekanan berimpak tinggi atau rendah. Ini termasuk panduan memilih jurulatih profesional atau terapi yang boleh mencipta senaman peribadi yang sesuai.

Senaman berkesan bergantung kepada tahap kecergasan serta kesihatan individu secara keseluruhan.

Mengikut portal rasmi Kementerian Kesihatan, myhealth.gov.my, menyatakan pesakit dementia memerlukan bantuan dalam menjalani aktiviti asas kehidupan dan penjagaan diri seharian.

Justeru, beberapa cadangan dikemukakan bagi bantuan pesakit melakukan aktiviti harian sekali gus mengekalkan dan meningkatkan tahap fungsi badan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan pesakit alzheimer dan dimentia ialah sekurang-kurangnya berjalan dan melakukan rutin seharian seperti makan, memakai baju dan ke tandas tanpa bantuan.


PELUPA boleh dirawat. - foto hiasan

Senaman beberapa kali seminggu dengan durasi antara 30 hingga 60 minit sehari, turut dipercaya membantu mempertahankan kemahiran pembelajaran dan pemikiran lebih tajam untuk individu yang sihat.

Usaha itu meningkatkan ingatan, pemikiran dan penilaian malah fungsi atau gangguan kognitif lebih ringan.

Berita Harian X