Isnin, 25 Februari 2019 | 5:04pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Fungsi doula hanya peneman ketika saat melahirkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedia bekerjasama dengan pengamal khidmat doula (pembantu ketika proses kelahiran) bagi membolehkan semua pihak memahami fungsinya secara khusus bagi mengelak kekeliruan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya akan memberi fokus terhadap isu berkenaan berbanding menyekat aktiviti pengamal doula menerusi media sosial.

Beliau berkata, kementerian pernah membincangkan berkaitan doula yang banyak dibahaskan menerusi media sosial dan kini sedia mempertimbangkan untuk bekerjasama.

“Kementerian merasakan lebih penting bekerjasama dengan mereka yang mempraktikkan doula. Namun tidak menafikan ada yang mempraktikkan amalan ini jelas di luar bidang profesional. Ini dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan ibu ketika berhadapan saat melahirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Peningkatan Akses Rawatan Kanser dan Pengambilan Ubatan oleh Agensi Regulatari Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Dr Boon menegaskan pemantauan aktiviti doula di media sosial akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sebelum ini KKM bercadang mewujudkan peraturan khusus bagi mengawal khidmat doula. Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan ibu serta kandungan terjamin ketika proses melahirkan.

KKM sedang memantau amalan ini supaya dapat mewujudkan satu peraturan khusus bertujuan mengelakkan kemudaratan.

Begitupun tidak menghalang amalan seperti bidan yang menjadi tradisi, cuma memastikan amalannya tidak berisiko kepada ibu atau bayi dalam kandungan.

Terdahulu, Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan dalam kenyataannya, sebagai memetik sesiapa sahaja boleh menjadi doula asalkan mereka adalah wanita.

Peranan doula kata beliau, sebagai peneman wanita hamil sepanjang proses melahirkan dan berpantang tidak perlu disekat selagi tidak melanggar batasan tugas doktor atau pakar perubatan.

Doula katanya, bukan berfungsi sebagai penasihat atau memberi khidmat perubatan, sebaliknya hanya membantu wanita hamil dan selepas bersalin mengharungi cabaran menjaga bayi khususnya ketika suami tiada di rumah.

“Tugas mereka ada batasannya iaitu memberi sokongan kepada wanita hamil ketika bersalin dan berpantang dari aspek mental dan fizikal serta emosi sahaja.

“Bagaimanapun, orang ramai perlu mengubah tanggapan doula adalah tugas profesional bagi menggantikan peranan doktor, jururawat atau bidan,” katanya.

Berita Harian X