Isnin, 20 Mei 2019 | 4:05pm
Shakir obesiti sejak berumur 16 tahun. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Shakir obesiti sejak berumur 16 tahun. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Gemuk menyeksa diri, susahkan orang keliling

KEGEMUKAN boleh membawa kemudaratan dan kesengsaraan, mungkin bukan pada hari ini tetapi pada masa akan datang, yang mana kesedaran mengenai kesannya perlu ada dari sekarang, demikian luahan penghidap morbid obesiti, Mohd Shakir Nayan, 30.

Morbid obesiti adalah keadaan kesihatan serius dengan Jisim Indeks Tubuh (BMI) lebih 40 kilogram (kg)/meter persegi (m2) dan berisiko tinggi mengalami pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Akibat gemuk melampau dengan berat melebihi 180 kilogram (kg), Mohd Shakir yang bekerja sebagai pentadbir keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kuantan, pernah pengsan selepas dua kali mengalami pendarahan selepas urat pada kakinya bersimpul dan bocor ketika berusia 16 dan 26 tahun, selain menghidap tekanan darah tinggi pada usia 25 tahun.

“Ketika kejadian pertama, saya masih tidak menganggap obesiti ini boleh membawa masalah teruk dan masih meneruskan gaya hidup tidak sihat dengan menikmati makanan sedap. Saya seronok makan dikelilingi kawan walaupun berat badan terus meningkat sehingga pernah mencecah 200kg,” katanya.

Sepuluh tahun kemudian, anak keenam daripada tujuh beradik itu pengsan secara tiba-tiba kerana kakinya mengalami pendarahan dan terpaksa diusung oleh sepuluh orang untuk di bawa masuk ke dalam ambulans.

Padah kaki berdarah

Mohd Shakir mengakui tidak perasan langsung kakinya berdarah dan sebaik sedar daripada pengsan, dia sudah dikelilingi rakan sekerja.

“Apabila ambulans sampai, pembantu perubatan (MA) cuba memasukkan air, namun gagal mencari urat sehingga terpaksa mencuba sehingga 20 kali barulah berhasil.

“Ketika itu saya mula sedar betapa susahnya mengalami obesiti dan paling menyedihkan keadaan diri menyusahkan orang lain,” katanya.

Mohd Shakir dirawat selama tiga hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan dirujuk kepada pakar ortopedik tetapi keadaannya tidak berubah malah selepas dua bulan, kakinya mengalami ulser.

Berkongsi kisahnya, Mohd Shakir berkata masalah obesiti sudah dialaminya sejak usianya lapan tahun dengan berat badan ketika itu sudah mencedah 26kg. Malah enam adik beradiknya turut mengalami masalah lebih berat badan tetapi tidak seperti Mohd Shakir.

“Ketika itu, guru kelas sedang menjalankan saringan berat badan ke atas semua pelajar, dia berkata berat saya seperti anak gajah. Saya tidak terfikir pun berat badan bakal mempengaruhi kehidupan saya pada masa depan,” katanya.

Sejak kejadian pengsan itu, terdetik dalam hati untuk berubah dan menemui doktor bagi mendapatkan nasihat mengurangkan berat badan.

Diminta makan secara sihat

Mohd Shakir dirujuk kepada Timbalan Pengerusi dan Pengasas Bersama Kelab Ideal Unggul Berserah (KUIB), Dr Zuraidah Fadzlilah, iaitu kelab yang disertai mereka yang mengalami masalah berat badan.

Beliau juga dirujuk kepada pakar pemakanan yang menasihatkannya untuk makan secara sihat selain pakar lain seperti psikologi dan fisioterapi. Walaupun berjaya menurunkan berat badan sehingga 173kg, tidak dinafikan agak sukar untuk mengekalkan tahap timbangan seumpama itu.

“Saya nasihatkan supaya jaga pemakanan dan lakukan senaman, menjaga pemakanan bukan satu destinasi tetapi perjalanan yang jauh,” katanya.

Sementara itu, Dr Zuraida berkata, tidak dinafikan sukar bagi penghidap morbid obesiti mengurangkan berat badan kerana gaya hidup kurang sihat yang dilalui sebelum ini.

“Bagi kita mungkin tidak faham mengapa mereka tidak boleh berhenti makan kerana tubuh sudah biasa dengan berat ditanggung selama ini. Apabila berat berkurangan, tubuh mengeluarkan isyarat bahaya dan melindungi dengan memberikan isyarat lapar,” katanya.

Mohd Shakir perlu disiplin melawan isyarat berkenaan dengan mengamalkan pemakanan sihat, termasuk bersenam.

INFO

Mengenai morbid obesiti

• Varicose vein adalah antara komplikasi yang boleh berlaku akibat masalah kegemukan.

• Tekanan berat menyebabkan darah ditolak ke bawah kaki

• Sukar dirawat

• Biasanya dialami wanita hamil atau mereka yang kerap berdiri lama.

Berita Harian X