Sabtu, 1 Jun 2019 | 11:00am

Optimum khasiat susu, ambil ikut keperluan

SUSU minuman yang diperlukan oleh bayi, kanak-kanak kerana mempunyai pelbagai khasiat dan nutrisi untuk tumbesaran membabitkan golongan terbabit.

Pakar Pemakanan UiTM Private Specialist Centre, Nadhirah Mohd Khid, berkata susu adalah sajian sihat lengkap dan seimbang yang memberikan banyak kebaikan untuk kesihatan golongan itu.

PAKAR Pemakanan/Pakar Diatetik, UiTM Private Specialist Centre, Nadhirah Mohd Khid. - NSTP/Emel

Katanya, susu kaya dengan nutrisi meliputi kalsium dan Vitamin D, selain mengandungi ketiga-tiga mikronutrisi yang menjadikannya sebagai hidangan ‘lengkap dan seimbang’ iaitu karbohidrat, protein dan lemak.

Katanya, dengan kandungan nutrisi lengkap, mampu menjadi gantian kepada hidangan lain atau meal

replacement therapy (MRT). Susu boleh disamakan dengan dua keping sandwic ayam dan sesuai bagi menggantikan menu untuk sarapan.

“Jangan malu minum susu atau menganggap minuman itu untuk kanak-kanak dan orang tua, sebaliknya sesuai untuk semua peringkat usia berdasarkan keperluan badan individu.

TERDAPAT banyak nutrisi terkandung di dalam susu.

“Terdapat banyak nutrisi terkandung di dalam susu yang mampu menyeimbangkan corak pemakanan seharian dan boleh dijadikan sajian gantian,” katanya mengulas mengenai Hari Susu Sedunia yang diraikan esok setiap tahun.

Nadhirah berkata, susu diperkaya dengan pelbagai mikronutrisi yang tidak terdapat dalam makanan lain seperti Vitamin A, B,C D,E dan K, potassium, fosfat, folate, zat besi dan mineral lain. Kaya mengandungi vitamin dan mineral serta mempunyai banyak kelebihan tersendiri seperti untuk ketahanan tulang serta gigi.

Antara kebaikan susu, termasuk membantu mengawal tekanan darah, mencantikkan rambut, kulit, imunisasi badan, proses penghadaman dan tumbesaran.

Pengambilan berlebihan memudaratkan hati

Namun begitu, Nadhirah berkata, pengambilan susu berlebihan dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah buah pinggang yang membabitkan keadaan hiperpotasium, hiperfosfat dan hipercalcium boleh memudaratkan lagi kesihatan buah pinggang dan keseimbangan elektrolit dalam badan pesakit.

PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel.

“Justeru, sebelum minum susu, pesakit terbabit perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai pemakanan atau doktor sekiranya mahu mengambil susu dalam kuantiti yang melebihi standard hidangan sehari,” katanya.

Zat besi yang terlebih banyak dalam badan atau hemochromatosis akan menyebabkan hati membengkak dan seterusnya akan menyebabkan penyakit masalah hati (cirrhosis).

“Memandangkan susu mengandungi kalsium yang tinggi, pesakit yang mengambil susu membantu mengurangkan serapan zat besi berlebihan dalam badan mereka,” katanya.

Tiada kajian menunjukkan individu mudah terdedah kepada penyakit berjangkit sekiranya tidak pernah meminum atau kurang minum susu, melainkan susu yang diambil sudah tercemar. Penyakit berjangkit yang juga penyakit bawaan boleh dijangkiti menerusi bawaan air, udara, sentuhan secara langsung dan juga tidak langsung.

“Seseorang boleh terkena penyakit berjangkit bawaan air atau sentuhan secara langsung sekiranya susu yang hendak diminum sudah mengandungi kuman dan bakteria yang membahayakan,” katanya.

Tumbesaran terbantut

Susu sejat atau susu pekat manis sering menjadi alternatif kebanyakan warga kurang berkemampuan untuk diberikan kepada anak mereka tidak sesuai kerana pemberian itu bukan sahaja mengurangkan kemasukan nutrisi dalam tubuh, sebaliknya memudaratkan proses tumbesaran si kecil kerana susu berkenaan mengandungi gula dan lemak tambahan.

“Kanak-kanak yang minum susu membantu tumbesaran sempurna, kurangkan risiko obesiti kerana nutrisinya seimbang dan lengkap. Sekiranya kurang pengambilan susu daripada standard dicadangkan, kanak-kanak cenderung mengambil makanan kurang seimbang.

“Anak cenderung mengambil makanan tinggi kalori dan lemak, sekiranya diambil secara berterusan fizikal pula tidak aktif akan menyebabkan masalah obesiti.

“Kekurangan susu boleh mengakibatkan kekurangan zat dan nutrisi, menyebabkan mereka berdepan masalah pembelajaran. Orang dewasa juga tidak terkecuali berdepan masalah apabila tidak mengambil susu dalam diet pemakanan harian. Mereka mudah mengalami masalah tulang atau osteoporosis dan osteomalacia.

“Kekurangan nutrisi, terutama wanita mengandung bagaimanapun membantu membaiki komposisi badan dan membantu mengurangkan berat badan sewaktu sekatan tenaga (energy restriction) malah membantu mengurangkan risiko diabetes dan masalah jantung serta angin ahmar,” katanya.

INFO SUSU

* Susu daripada mamalia yang mempunyai kelenjar susu termasuklah manusia, lembu, kambing, unta, kambing biri-biri dan kerbau, tetapi yang paling popular ialah susu lembu.

* Antara susu lembu dan kambing,

- Kandungan laktosa, lemak dan protein adalah adalah lebih kurang sama

- Bezanya adalah saiz lemak dan pecahan asid amino (protein) yang terdapat dalam susu kambing lebih

kecil berbanding lembu,

- Susu kambing mudah dihadam

* Berbanding susu lembu dan kambing, susu biri-biri dan kerbau mengandungi kandungan protein dan lemak lebih tinggi.

* Rasa susu setiap haiwan berbeza.

------------

Nutrisi dalam susu :-

* Kalsium

* Vitamin D

* Mengandungi ketiga-tiga mikronutrisi - karbohidrat, protein dan lemak.

* Vitamin A, B,C D,E dan K,

* Potassium

* Fosfat

* Folate

* Zat besi

Khasiat susu:

* Membantu mengawal tekanan darah

* Mencantikkan rambut dan kulit,

* Membantu imunisasi badan,

* Mmembantu proses penghadaman,

* Membantu tumbesaran yang sihat

* Baik untuk pembinaan dan ketahanan tulang dan gigi

Jenis susu

-----------------

* Susu sejat

- Susu segar diproses menjadi pekat kandungannya dengan membuang 60 peratus kandungan air daripadanya.

- Susu sejat disejukkan dan disterilkan pada suhu antara 115 hingga 118 darjah Celsius menjadikan nutrisi di dalam susu berkurangan.

* Susu pekat manis.

- Ditambah gula untuk menjadikannya manis.

- Di Malaysia, kandungan lemak tambahan daripada minyak kelapa sawit dimasukkan dalam pembuatan susu pekat manis bagi menjadikan pekat manis yang bukan sahaja mempunyai gula tetapi lemak sayuran.

* Susu segar

* Susu ibu

* Susu campuran perasa buah-buahan, kopi dan teh

- Vitamin C, Vitamin E, beta-karotin dan polifenol dalam buah-buahan, teh dan kopi adalah komponen antioksida semula jadi.

- Banyak kajian menunjukkan campuran mengurangkan kandungan antioksida berkenaan tetapi terdapat kajian menunjukkan kesan sebaliknya, susu mampu meningkatkan penyerapan antioksida di dalam badan.

- Sebanyak 30 peratus antioksida terganggu hasil campuran susu dan sumber antioksida ini, walaupun begitu masih

terdapat 70 peratus lagi kandungan antioksida boleh diserap badan.

- Jadi, tidak salah mencampurkan buah-buahan, teh dan kopi dengan susu dengan syarat kawal campuran gula tambahan di dalamnya.

Berita Harian X