Sabtu, 15 Jun 2019 | 10:00am

Diabetes ibarat kereta lama perlu pemeriksaan berkala

PESAKIT kencing manis diibaratkan sebagai kenderaan lama yang memerlukan penyelenggaraan berkala bagi mengelak situasi sukar hingga membawa kepada risiko serangan jantung.

Mereka dinasihat menjalani pemeriksaan selain mengambil ubat berikutan diabetes dikhuatiri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang yang memerlukan mereka menjalani rawatan dialisis yang pastinya kos lebih tinggi.

Pakar Perubatan Jantung Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA UiTM Private Specialist Centre (UiTMPSC) Prof Madya Dr Sazzli Shahlan Kasim, berkata pesakit umpama kereta yang perlu diselenggara bagi memastikan kelancarannya.

Beliau berkata, pemeriksaan dapat mengesan tahap penyakit bagi mengelak sebarang komplikasi serius. Semakin lama penyakit menyerang, keadaan menjadi semakin teruk kerana boleh mengganas dan merosakkan keseluruhan sistem badan.

“Selain itu, pemantauan dibuat bagi mengenalpasti tahap ubat diambil. Sekiranya tidak cukup kuat, menerusi pemantauan konsisten, doktor boleh memberikan dos ubat bersesuaian.

“Biasanya doktor memantau dengan teliti sebab keadaan ini menyebabkan risiko kerosakan organ buah pinggang. Lazimnya orang tua banyak penyakit tetapi mereka tidak membuat pemantauan berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Komplikasi Penyakit Kencing Manis ‘Diebetes Complications & Grand Rounds ke -11, di ibu kota, baru-baru ini.

50 peratus diabetes risiko kes jantung

Dr Sazzli berkata, kajian mendapati, 50 peratus pesakit jantung bermula dengan diabetes dengan seorang daripada lima penduduk mungkin menghidap penyakit kencing manis, namun tidak ramai mengetahuinya.

Kesan penyakit itu, katanya, membawa kepada masalah jantung walaupun saluran darah tidak tersumbat.

“Risiko pesakit kencing manis mendapat gangguan kesihatan jantung tinggi dengan kekerapan lapan kali ganda berhadapan serangan berkaitan kesihatan kardiovaskular. Tempoh mendapat penyakit lemah jantung dianggarkan lima hingga 15 tahun selepas didiagnosis kencing manis,” katanya.

Dr Sazzli berkata, keadaan itu disebabkan paras gula meningkat, berat badan berlebihan, tekanan darah, bacaan kolesterol tinggi selain merokok dan kurang bersenam.

Katanya, risiko mendapat salur darah tersumbat tinggi, terutama dalam kalangan pesakit kencing manis, turut mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan menghisap rokok.

“Lazimnya pesakit mengalami masalah lemah jantung disebabkan saluran darah tersumbat selain otot jantung menjadi lemah atau diabetic cardiomyopathy.

“Keadaan disebabkan kandungan paras gula yang tinggi atau AGE (Advanced glycation end products). Apabila tekanan tinggi, salur darah dan otot jantung menjadi keras,” katanya.

Pesakit sesak nafas, sukar tidur

Beliau berkata, kandungan gula meningkat dan tidak dikawal, menyebabkan AGE menjadi mendap ketara dan lama-kelamaan otot jantung keras atau Heart Failure with Preserve Ejection Fraction (HFpEF)

Pada keadaan sedemikian, katanya apabila pesakit berjalan laju seperti menaiki anak tangga, mereka berdepan tekanan serta demam tiba-tiba hingga mudah mendapat gangguan jantung.

“Pesakit mengalami kesukaran bernafas, sukar tidur dan paru-paru berair. Justeru, bagi mengenal pasti tahap kesihatan jantung, ujian X-ray dilakukan bertujuan melihat sama ada jantung bengkak atau tidak, selain menjalani ujian ultra sound.

“Lazimnya pesakit mengalami sesak nafas, letih, kaki bengkak, tidak boleh jalan dan sukar tidur. Mereka perlu mendapatkan rawatan segera bertujuan menguatkan fungsi jantung selain diberikan ubat untuk mengawal gula dan tahap kolesterol dalam darah.

“Apabila sudah sampai ke tahap itu, berlaku Heart Failure Reduce Ejection Fraction (HFrEF), kesannya jantung menjadi lemah dan paras gula meningkat hingga menyebabkan buah pinggang rosak. Jadi, doktor juga perlu berhati-hati untuk memberikan ubat kepada pesakit,” katanya.

Ubat bukan punca buah pinggang rosak

Lazimnya, pesakit beranggapan makan ubat menyebabkan buah pinggang rosak, menangkis dakwaan itu, Dr Sazzli berkata, kerosakan disebabkan pesakit enggan mengambil ubat.

Sekiranya pesakit kencing manis dan darah tinggi tidak makan ubat, buah pinggang akan mengalami kerosakan secara semula jadi.

Dr Sazzli berkata, pengambilan ubat memperlahankan proses kerosakan organ, sekali gus mengelakkan pesakit daripada terpaksa menjalani prosedur dialisis yang menelan belanja besar.

“Kebanyakan orang makan ubat tidak mahu membuat pemantauan berkala. Walaupun mengambil ubat, pesakit masih perlu mendapatkan pemantauan dari semasa ke semasa daripada pakar,” katanya.

Beliau berkata, punca buah pinggang rosak disebabkan diabetes dengan kadar gula yang tinggi hingga merosakkan
span berkenaan. Tekanan darah tinggi juga menyebabkan saluran buah pinggang rosak dan pecah.

“Apabila rosak, ubat yang diberikan bertujuan mengawal organ daripada mengalami kerosakan bukannya tujuan merawat buah pinggang berkenaan. Tiada ubat boleh merawat tetapi hanya sekadar mengawal,” katanya.

INFO:

* Pesakit diabetes berisiko terkena jangkitan serangan jantung

* Kegagalan jantung disebabkan

- Jantung menjadi keras (Heart Failure with Preserve Ejection Fraction (HFpEF).

- Jantung menjadi lemah atau (Heart Failure Reduce Ejection Fraction (HFrEF).

* 30 peratus pesakit kencing manis mendapat kegagalan jantung sepanjang hayat mereka (pasti kena dan tidak akan baik) melainkan jika mereka menghentikan pengambilan makanan tinggi karbohidrat antaranya nasi dan roti.

* 25 peratus penyakit koronari (serangan jantung) membabitkan individu berusia kurang 50 tahun

* 10 hingga 15 peratus penyakit koronari menyerang individu berusia kurang 40 tahun

* 45 peratus : penyakit koronari ada kencing manis (seorang dalam dua)

Tip

* Makan segenggam nasi - kawal kuantiti

* Banyakkan makan sayur, ayam (bahagian dada) dan telur

* Pelbagaikan warna dalam sajian.

Berita Harian X