Khamis, 4 Julai 2019 | 7:35pm
Berat badan berlebihan atau obesiti sebahagian daripada gangguan kesihatan yang mendedahkan penghidapnya kepada pelbagai risiko penyakit kronik. - Foto hiasan
Berat badan berlebihan atau obesiti sebahagian daripada gangguan kesihatan yang mendedahkan penghidapnya kepada pelbagai risiko penyakit kronik. - Foto hiasan

Suntikan enzim kawal minda kurangkan makan

UMUM menyedari berat badan berlebihan atau obesiti sebahagian daripada gangguan kesihatan yang mendedahkan penghidapnya kepada pelbagai risiko penyakit kronik.

Bagaimanapun usaha untuk menurunkan berat badan bukan sesuatu yang mudah kerana individu perlu berperang antara rasa lapar, penurunan metabolisme dengan bekerja keras untuk makan makanan rendah kalori dan bersenam.

Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, berkata individu obesiti perlu penjagaan rapi bagi mengawal peningkatan berat badan secara berterusan.

Beliau berkata, sebahagian besar individu berkenaan enggan tampil mendapatkan bantuan atau menerima pengurusan obesiti untuk tempoh jangka panjang.

“Ini berikutan obesiti tidak diiktiraf sebagai penyakit apabila hanya 10 peratus individu mengalami obesiti sedia mendapatkan bimbingan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Masalah lain, pesakit dan doktor tidak bersedia bercakap mengenai obesiti manakala kebanyakan strategi rawatan konservatif tidak berkesan,” katanya.

Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Beliau berkata demikian pada pelancaran Saxenda (liraglutide 3.0 miligram/mg), ubat preskripsi diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia, baru-baru ini, yang memiliki mekanisme menyerupai hormon dihasilkan badan secara semula jadi untuk mengawal selera, dikenali sebagai peptida seperti glukagon (GLP-1).

Kaedah rawatan

Disuntik pada bahagian perut, meningkatkan rasa kenyang dan puas dengan mengaktifkan bahagian tertentu otak yang mengawal selera lantas mengurangkan pengambilan makanan atau kalori seterusnya menurunkan berat badan.

Bagaimanapun hanya golongan dewasa yang mengalami obesiti dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 27 kilogram/meter padu (kg/m2) atau BMI melebihi 30 kg/m2, selain mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes jenis dua atau apnea tidur obstruktif (dengkur) sesuai menggunakannya.

Perlu digunakan bersama diet kalori rendah dan peningkatan aktiviti fizikal untuk pengurusan berat badan jangka panjang.

Pakar Perunding Endokrinologi, Klinik Diabetes & Endokrinologi C-ENDO, Kanada, Dr Sue Pedersen, berkata banyak faktor genetik mempengaruhi kecenderungan pertambahan berat badan.

“Tiga kunci utama merawat obesiti adalah mengubah suai diet dan gaya hidup, terapi ubat dan senaman serta pembedahan pintasan usus atau bariatrik.

“Pilihan rawatan bergantung kepada sejarah kehilangan berat badan pesakit, indeks jisim tubuh (BMI) dan penyakit berkaitan obesiti yang dihidapi,” katanya.

Katanya dalam kes obesiti lebih serius, rawatan invasif seperti pembedahan bariatrik dipertimbangkan.

“Dengan pelancaran Saxenda, profesional penjagaan kesihatan mempunyai alternatif membantu pesakit mengurangkan berat badan dan penyakit berkaitan diabetes peringkat awal,” katanya.

INFO:

*Faktor penyumbang obesiti:

- Genetik, persekitaran, biologi dan keadaan genetik.

1. Genetik

- Melindungi dan risiko meningkatkan berat badan

- Bangsa

- Interaksi antara genetik

2. Faktor Biologi:

- Persekitaran dalam rahim

- Berat badan ketika lahir

- Jantina

- Usia

- Penyakit sedia ada

- Perubatan dan keadaan perubatan lain.

3. Persekitaran:

- Makanan

- Kualiti makanan

- Status sosio ekonomi

- Pendidikan

4. Tingkah laku:

- Kecenderungan diet

- Aktiviti fizikal

- Faktor psikologikal

- Faktor budaya

- Corak gaya hidup atau aktiviti

FAKTA:

Laporan kajian penjagaan obesiti di Amerika Syarikat pada tahun 2018 mendapati, daripada 3,008 penghidap obesiti, hanya 71 peratus berjumpa doktor atau pakar untuk berbincang mengenai masalah berat badan atau berbincang mengenai kehilangan berat badan sejak lima tahun lalu.

Kira-kira 55 peratus daripada 2,185 dilaporkan mengalami obesiti dan 24 peratus daripadanya dilaporkan membuat temujanji untuk rawatan susulan.

Berita Harian X