Sabtu, 31 Ogos 2019 | 12:15pm
Mata normal.

Jaga mata elak buta

RAMAI menghadapi masalah penglihatan biarpun sudah beberapa kali menukarkan cermin mata, membuat pemeriksaan terkini, selain kanta matanya jelas memperlihatkan selaput atau kabut berbanding keadaan asal yang jernih.

Kanta mata yang keruh juga mengganggu kemasukan cahaya ke dalam retina, membuatkan penglihatan semakin kabur, imej tampak berganda, tidak mengenal pasti warna dan terganggu melihat cahaya terang atau silau.

Sebenarnya itu, antara simptom atau faktor berlakunya katarak yang kebiasaan terjadi kepada kebanyakan golongan berusia.

Secara umum, katarak adalah penyakit, iaitu keadaan kanta pesakit yang jernih bertukar menjadi keruh disebabkan kerosakan pada protein di dalam kanta. Keadaan itu berlaku dalam tiga keadaan bergantung kedudukan selaput di dalam kanta.


Ring type multifocal lens (kiri) dan Segment Type multifocal lens.

Selepas pembedahan katarak.

Misalnya, ia boleh berlaku di bahagian tengah atau nuklear (katarak nuklear) yang disebabkan penuaan, ruang sekeliling nuklear (katarak kortikal) sinonim pada pesakit diabetes dan di subkapsul disebabkan penggunaan steroid terlalu lama.

Pakar Perunding Oftalmologi sebuah hospital swasta, Dr Sahimi Sulaiman, berkata kebiasaan pada peringkat awal pembentukan katarak, pesakit berkemungkinan tidak mengalami gangguan penglihatan.

“Misalnya, jika katarak nuklear, pesakit merasakan penglihatannya semakin kabur, bertambah ‘power’ rabun jauh.

“Ini berikutan berlaku peningkatan kuasa refraksi menyebabkan pesakit memerlukan gantian cermin mata dengan kerap,” katanya.


Pakar Perunding Oftalmologi sebuah hospital swasta, Dr Sahimi Sulaiman.

Traumatic Cataract

Simptom lain, imej yang dilihat pada penglihatan seperti berasap atau berubah menjadi kekuningan.

Berbeza dengan katarak subkapsul atau ‘posterior sub capsular cataract’ pesakit merasakan sensitif pada cahaya terang seperti sinar matahari terik atau cahaya lampu kenderaan ketika memandu pada waktu malam.

“Apabila keadaan ini berlaku, pesakit hilang pandangan secara tiba-tiba atau silau. Bagaimanapun penglihatannya kembali pulih setelah berada di persekitaran yang suram.

“Selain itu, ada juga menghadapi penglihatan berganda pada sebelah mata,” katanya.

Jika tidak mendapatkan rawatan atau bertemu doktor penglihatan seseorang itu akan bertambah kabur sehingga berisiko menjadi buta atau mendapat glaukoma sekunder.


Sub capsular cataract.

Anatomi kanta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan  peratusan kebutaan disebabkan katarak adalah sebanyak 51 peratus.

Bagaimanapun, di negara ini kebutaan disebabkan oleh katarak adalah lebih tinggi iaitu 58.6 peratus, mengikut statistik, daripada Tinjauan Mata Kebangsaan II (NES II) - 2017) merekodkan peningkatan 39 peratus berbanding NES I-1996.

Peratusan ini adalah tinggi dengan mengambil kira kebutaan disebabkan katarak berikutan masalah itu sebenarnya boleh dirawat menerusi pembedahan.

Katanya, selain masalah kos ramai tidak mendapatkan rawatan kerana tiada akses terhadap rawatan, faktor sosial seperti kurang kesedaran, takut dibedah dan pegangan kepercayaan.

Pemeriksaan mata bagi memastikan tiada masalah mata selain daripada katarak berikutan penyakit mata berkaitan usia seiring dengan katarak seperti kemerosotan makula berkaitan usia (AMD) dan glaukoma.

"Ujian penglihatan perlu dilakukan bagi menentukan tahap dan jenis katarak menggunakan mikroskop dan memeriksa tekanan mata dan retina, berikutan jika katarak tidak dirawat boleh mengakibatkan glaukoma disebabkan penyempitan pada sudut antara kornea and iris khususnya apabila katarak itu makin menebal.

"Pesakit boleh mendapat glaukoma akut yang memerlukan pembedahan dilakukan segera. Katarak yang terlalu matang dan keras juga akan menyebabkan ligamen yang memegang kanta menjadi longgar yang boleh menyebabkannya kanta jatuh ke ruang belakang mata (vitreous)," katanya.

Radang mata pula boleh berlaku sekiranya protein di dalam kanta mula cair dan keluar daripada kapsul kanta sekali gus boleh menyebabkan glaukoma sekunder.


Anatomi Mata.

Dr Sahimi berkata, pembedahan katarak adalah selamat dan pembedahan paling banyak dilakukan seluruh dunia, malah teknologinya semakin dipertingkatkan menerusi inovasi baharu.

"Justeru, kerajaan terus komited dan berusaha meningkatkan kesedaran dan akses kepada kemudahan rawatan katarak sekali gus  mengurangkan peratusan kebutaan disebabkan katarak.

"Bagaimanapun jangka hayat penduduk negara ini juga dijangka meningkat dari umur 74.8 tahun pada 2017 kepada 77.6 tahun pada 2030," katanya.

Katanya, disebabkan lebih 90 peratus katarak adalah berkaitan dengan peningkatan usia, ini memberi beban kepada sesetengah hospital kerajaan dalam memberi rawatan kepada pesakit katarak di mana ada pesakit terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk mendapatkan temujanji untuk pembedahan.

"Inisiatif pakar boleh memainkan peranan dalam mengurangkan peratusan ini, sekali gus mengurangkan peratusan kebutaan akibat katarak," katanya.

Info: Teknik pembedahan katarak

* Evolusi dari teknik secara manual kepada penggunaan mesin oleh Charles Kelman pada 1967.

* Variasi teknik
- Teknik phaco prechop' oleh Dr Takayuki Akahoshi

* Penggunaan kanta mata intraokular oleh Sir Harold Ridley pada 1959.

* Inovasi pembedahan katarak menggunakan Femtosecond Laser Assisted Cataract Surgery(FLAC).

* Penggunaan kanta mata multifokal intraokular

 

Faktor Risiko

* Usia 65 tahun ke atas

* Faktor genetik.

* Pendedahan berpanjangan pada cahaya matahari tanpa alat pelindung mata.

* Penyakit metabolik seperti kencing manis, kecederaan atau radang dalam mata

* Penggunaan steroid pada jangka masa yang lama.

* Gaya hidup terkini memberi pendedahan pada gajet menyaksikan peningkatan rabun jauh peringkat tinggi (high myopia/pathological myopia)

* Faktor risiko katarak terutamanya pada umur lebih muda pada lingkungan 50 tahun.

* Pendedahan berterusan pada cahaya skrin komputer juga dipercayai faktor risiko katarak pada usia muda.

 

Berita Harian X