Sabtu, 19 Oktober 2019 | 10:29am
Antara makanan yang bersantan. - Gambar hiasan

Kolesterol baik dan jahat dalam santan

Kadar kolesterol tinggi boleh mengakibatkan pelbagai risiko penyakit sekiranya individu gagal mengawal diet seimbang dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Pengambilan makanan berlemak dan segera secara tidak terkawal juga meningkatkan risiko mendapat penyakit seperti jantung dan diabetes.

Lazimnya individu akan terus terfikir pengambilan makanan bersantan antara punca kolesterol. Stigma masyarakat keburukan santan sebenarnya silap kerana bahan itu mempunyai khasiat yang boleh dimanfaatkan dalam masakan mahupun penjagaan kesihatan.

Penggunaan santan digunakan sejak zaman dulu, antara lain dipercayai berkhasiat melebatkan rambut dan berupaya menghaluskan kulit wajah.

Menerusi bidang kesihatan pula, santan yang kerap dimomokkan mengandungi kolesterol tinggi mempunyai manfaat seperti tinggi serat, kaya vitamin C, E, B1, B3, B5 dan B6.

Pakar Nutrisi Syarikat Perunding Nutrisi di Singapura, Shermin Low, berkata beliau komited membetulkan persepsi masyarakat mengenai dan kesannya kepada kesihatan.

Katanya, kajian menunjukkan ia santan mengandung Medium Chain Triglycerides (MCTs), boleh menghasilkan tenaga, meningkatkan metabolisme dan meningkatkan imunisasi kerana ia memiliki kandungan anti bakteria serta dan antivirus dalam mencegah penyakit,” katanya.

Shermin Low, berkata santan juga mengandungi mineral seperti besi, selenium, natrium, kalsium, magnesium dan fosforus serta bebas laktosa yang menjadikannya ideal bagi individu yang alah pada laktosa dan vegan.

Beliau menyarankan masyarakat memilih dan mengambil apa saja menu secara sederhana bagi memastikan kolesterol berada pada tahap sepatutnya sekali gus memberi peluang mereka menikmati makanan tanpa sebarang masalah.

“Kekalkan tahap kesihatan dan gaya hidup sihat tanpa perlu berkompromi dengan keenakan hidangan. Sesetengah produk memberi manfaat kepada pengguna yang pentingkan kesihatan tetapi masih mahu menikmati hidangan enak,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 20 peratus kehadiran kolesterol dalam tubuh hadir daripada pemakanan seseorang manakala 80 peratus daripada hati.

“Makanan menyumbang 20 peratus punca kolesterol menerusi makanan yang diambil seseorang.

“Peningkatan kolesterol berlebihan dalam tubuh juga perlu diberi perhatian memandangkan ia boleh menyebabkan penyakit arteri, iaitu penyempitan saluran darah dan risiko penyakit kardiovaskular yang menyebabkan penyakit jantung,” katanya.

Kolesterol dibahagikan kepada dua iaitu jahat dan baik. kolesterol baik adalah bahan penting untuk pembinaan sel dan hormon dalam tubuh.

Saranan beliau, amalkan 3F iaitu, Fats (lemak), Fibre Fiber) dan Fitness (Kecergasan) bagi mendapat kesihatan unggul.

“Anda perlu kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak, tidak sihat dan kolesterol tinggi, meningkatkan pengambilan serat larut dan meningkatkan aktiviti fizikal.

“Bagaimanapun, diet sihat tidak bermaksud menghindari makanan enak tetapi kuncinya adalah mencipta hidangan sihat dan lazat sebagai diet harian,” katanya.

Info

Pengurusan kolesterol berkesan:

* Amal gaya hidup sihat.

* Kurangkan sajian berlemak

* Kawal pengambilan gula.

* Tingkat pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan

* Mulakan senaman ringan.

* Senaman sekurang-kurangnya lima kali seminggu dengan 20 minit setiap sesi.

* Kurangkan sajian bergoreng dan berminyak.

Berita Harian X