Sabtu, 26 Oktober 2019 | 10:00am
Pakar Perunding Onkologi, Dr Azura Rozila Ahmad. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Tunda rawat kanser, rangsang sel merebak dalam badan

Kos perbelanjaan merawat kanser begitu membebankan pesakit. Berikutan itu, ada yang terpaksa mengeluarkan simpanan, meminjam bank atau keluarga, selain mendapatkan bantuan zakat untuk menampung belanja rawatan.

Pakar Perunding Onkologi, Dr Azura Rozila Ahmad, berkata meskipun perlu bertindak segera merawat sel kanser yang pantas merebak, pesakit perlu memahami keadaan dan peringkat kesakitan dengan mendapatkan nasihat pakar.

“Rawatan kanser perlu mengikut tahap dan kesesuaian peringkat keadaan, ini kerana prosedur setiap individu berbeza mengikut sistem badan masing-masing.

“Perbezaan membabitkan pelbagai aspek iaitu keadaan pesakit, pengetahuan genomik, sejarah perubatan, nilai dan keutamaan peribadi serta akses rawatan membezakan setiap prosedur yang akan diberikan.

“Keadaan itu membezakan kos rawatan kerana jenis perubatan tidak sama,” katanya ketika ditemui selepas forum ‘Reimagine Your Medical Choices’ anjuran Allianz Malaysia Berhad, di ibu kota baru-baru ini.

Kanser pembunuh keempat terbesar di negara ini antara masalah kesihatan paling kritikal di seluruh dunia. Mengikut laporan barah payudara dan kanser paru-paru antara tertinggi dihidapi masyarakat dunia.

Dapatkan bantuan segera

Dr Azura Rozila berkata, kanser menjejaskan sel badan dan disebabkan sel tidak normal, berbentuk ketulan atau tumor, sekiranya tidak dirawat, boleh merebak ke tisu lain melalui sistem darah dan limfa. Sel kanser boleh membesar dan merebak di luar kawasan asal badan.

Katanya, hospital ada menawarkan rawatan namun akses dan kemampuan bergantung kepada pesakit sendiri. Pesakit boleh mendapatkan rawatan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mengurangkan kos rawatan.

“Jangan takut sebaliknya mereka perlu membuat keputusan mendapatkan rawatan segera. Sel kanser mudah merebak dalam badan dan sukar dikawal.

“Tindakan menunda rawatan boleh menyebabkan tahap kanser meningkat hingga boleh meragut nyawa,” katanya.

Beliau berkata, kanser dilihat sebagai mutasi genom dan hasil perubahan (mutasi) genom. Rawatan moden memberi peluang mengenal pasti rawatan sasaran molekul (targeted treatment), mampu meningkatkan kejayaan rawatan.

Pelan perlindungan insurans

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Allianz Malaysia, Zakri Khir berkata bagi menampung kos rawatan penyakit kanser masyarakat perlu merangka pelan yang kukuh.

“Forum yang dianjurkan antara usaha dan komitmen membawa perubahan positif dalam rawatan kanser. Kita melihat isu ini bermula dengan pra diagnosis sehingga pengurusan pasca kanser selain penjagaan jangka panjang serta pencegahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu menerapkan nilai dalam penjagaan kesihatan, selain memperkenalkan pelan insurans komprehensif termasuk perlindungan meluas bagi membolehkan pelanggan mendapat akses teknologi perubatan baharu dalam rawatan kanser seperti ujian genomic, terapi yang disasarkan serta imunoterapi.

INFO:

Nisbah pesakit menghidap kanser

Lelaki - 1 daripada lima (45 peratus)

Wanita - 1 daripada enam (55 peratus)

Seorang daripada empat mencapai usia 75 tahun ke atas

Lima jenis kanser tertinggi di Malaysia

* Kanser payudara - 14.5 peratus

4,000 kes setiap tahun

* Kanser Colorectal - 12.1 peratus

3,000 kes setiap tahun

* Kanser paru-paru - 11.8 peratus

2,100 kes baharu setiap tahun

* Kanser serviks

1,100 kes dilaporkan setiap tahun

* Nasopharyngeal - 5.4 peratus

Kanser membabitkan bahagian hidung. Kanser paling lazim individu 55 tahun ke atas.

Berita Harian X