Selasa, 12 November 2019 | 9:51am

Serangan jantung secara tiba-tiba

Oleh Halina Mohd Noor

[email protected]

Kematian secara mengejut dalam kalangan individu aktif bersukan mungkin berita memeranjatkan kerana masalah jantung sering dikaitkan dengan tabiat tertentu seperti tidak bersenam atau menjaga makan.

Hakikatnya serangan jantung atau penyakit kardiovaskular boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil berat kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan secara berkala.

Penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi adalah ‘pelaku’ sebenar yang mendorong kepada masalah jantung tanpa disedari.

Gaya hidup yang kurang sihat seperti merokok dan faktor di luar kawalan seperti keturunan turut menyumbang masalah itu.

Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Mohd Kamal Mohd Arshad, berkata individu aktif bersukan juga tidak dapat menjamin serangan jantung sekiranya tiada pencegahan menangani punca penyakit berkenaan.

Komplikasi jantung

“Ada sesetengah individu rajin bersukan dan bersenam tetapi tidak tahu mereka mempunyai kadar gula tinggi dalam darah, tekanan darah atau kolesterol tinggi kerana tidak pernah menjalani pemeriksaan.

“Kesannya dalam diam mereka mengalami komplikasi akibatnya termasuk serangan jantung secara tibatiba yang membawa maut,” katanya.

Dr Mohd Kamal berkata, empat daripada lima individu tidak menyedari mereka mengalami kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Gejala sakit jantung membabitkan sakit dada sama ada di bahagian tengah atau kiri dada, iaitu dada terasa berat seolah-olah ditekan atau dicengkam.

Mengalami sesak nafas atau mengah yang lebih daripada setengah jam akibat aktiviti seperti menaiki tangga atau berjalan laju, diikuti berpeluh.

Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun ketika seseorang itu sedang berehat.

“Sekiranya sakit dada, jangan tunggu sebaliknya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan.

“Kadang kala pesakit sukar membezakan sama ada sakit dada disebabkan angin daripada perut. Kalau sakit dada, jangan tunggu kerana sekiranya terlambat, kerosakan berlaku kepada jantung dan tidak dapat diselamatkan,” katanya.


PAKAR Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Mohd Kamal Mohd Arshad. - Foto Aziah Azmee

Jalani pemeriksaan

Dr Mohd Kamal menyarankan individu berusia 30 tahun ke atas menjalani pemeriksaan bagi mengesan ketiga-tiga masalah berkenaan sekali setiap tahun.

Individu yang mempunyai sejarah serangan jantung dalam kalangan keluarga terutama ibu bapa juga perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun.

“Serangan jantung adalahpembunuh nombor satu berbanding penyakit jantung lain yang dikaitkan dengan amalan atau gaya hidup kurang sihat serta keturunan.

“Jika bapa mula mengalami serangan jantung pada usia bawah 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan pada usia 65 tahun.

Sesiapa saja daripada mereka berisiko mengalaminya pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, mereka yang mengalami serangan jantung pada usia 80 tahun, bukan disebabkan keturunan tetapi dikaitkan faktor dengan penuaan.

Amal gaya hidup sihat

Pemeriksaan kesihatan perlu merangkumi pengambilan darah untuk mengesan kolesterol atau kadar gula yang tinggi.

Kadar gula dan kolesterol kurang daripada tiga milimoles per liter (mml) mampu mengelakkan serangan jantung, manakala bagi individu pernah mengalaminya, kadar gula dan kolesterol perlu di bawah 1.8 mml untuk mengelakkan risiko serangan berulang.

Gaya hidup dan pemakanan sihat termasuk mengurangkan gula, garam, lemak dan makan secara sederhana dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, kolesterol dan gula tinggi serta serangan jantung.

“Bersenam sekurangkurangnya 150 minit seminggu, membantu mengurangkan risiko 40 peratus, selain menguatkan jantung dan melancarkan peredaran darah,” katanya.

Mereka yang mempunyai kolesterol tinggi dan sukar diturunkan akibat faktor genetik disarankan makan ubat bagi mengawal kolesterol, pemakanan atau gaya hidup sihat.

Katanya, makanan berlemak boleh meningkatkan kolesterol tetapi kebanyakan punca daripada tubuh sendiri.

Setakat ini, tiada bukti makanan tambahan yang dijual di pasaran boleh mengurangkan kolesterol.

Oleh itu, makan makanan segar seperti ikan kembung yang kaya dengan minyak ikan serta Omega 3.

Berita Harian X