Khamis, 21 November 2019 | 7:35pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir pada majlis pelancaran kempen Save The Green Lung, di ibu negara, hari ini. - Fot Nik Hariff Hassan
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir pada majlis pelancaran kempen Save The Green Lung, di ibu negara, hari ini. - Fot Nik Hariff Hassan

Barah paru-paru disebabkan rokok catat kematian tertinggi selepas payudara, kolon

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan sasaran mengurangkan kadar perokok sehingga 15 peratus menjelang 2025 sekali gus berazam menjadikan negara bebas tembakau menjelang 2045.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pindaan Akta Kawalan Tembakau yang bakal dilaksana tahun depan, diharap menyumbang pengurangan bilangan perokok dan pesakit kanser terutama barah paru-paru.

Beliau berkata, kajian lima tahun berakhir 2011 mendapati 1,500 kes baharu kanser paru-paru membabitkan lelaki direkodkan sekali gus meningkat 66 peratus.

Katanya, jumlah perokok wanita yang dicatatkan pada tempoh kajian pula melebihi 600 iaitu peningkatan 71 peratus.

“Misi di bawah Plan Strategi Kebangsaan Pengawalan Tembakau 2015 hingga 2020, bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda berkata ‘TIDAK’ pada amalan merokok.

“Usaha ini diharap melahirkan komuniti yang lebih menghargai kesihatan dengan meninggalkan amalan buruk selain menambah lebih banyak tempat awam bebas asap rokok,” katanya pada majlis pelancaran kempen Save The Green Lung, di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Erica Lam; Pengasas Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM), Dr Anand Sachithanandan dan Pakar Perunding Respiratori, Dr Helmy Haja Mydin.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerima anak pokok hiasan ‘Eugenia Oleena’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Erica Lam pada majlis pelancaran kempen Save The Green Lung, di ibu negara, hari ini. - Fot Nik Hariff Hassan
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerima anak pokok hiasan ‘Eugenia Oleena’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Erica Lam pada majlis pelancaran kempen Save The Green Lung, di ibu negara, hari ini. - Fot Nik Hariff Hassan

Menurut Dr Dzulkefly, kanser paru-paru adalah penyebab utama kematian berbanding 14 kanser lain sekali gus mencatat kadar maut tertinggi berbanding barah kolon dan payudara.

Beliau berkata, sempena sambutan bulan paru-paru, pihaknya memuji usaha Hospital Pantai dan kerjasama Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM), merangka pelbagai pelan dalam usaha mencegah kanser dan manifestasi Akta Pengawalan Tembakau di negara ini.

“Tahun lalu saya merasmikan Pusat Kanser Hospital Pantai dan melihat mereka begitu agresif berkempen di secara digital, mendidik orang awam pentingnya penjagaan kesihatan bagi mengelak penyakit.

“Memandangkan rokok penyebab kanser paru-paru, trakea dan bronkus serta risiko kepada perokok kedua, kempen turut menawarkan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) “Low Dose CT Scan” percuma kepada individu berisiko.

“Pemeriksaan awal penting bagi membolehkan golongan berisiko mengetahui status kesihatan dan mencari jalan terbaik menangani penyakit bahaya. Ini termasuk individu yang mempunyai ahli keluarga pernah menghidap kanser paru-paru,” katanya.

Ujian saringan memberi peluang 140 ujian percuma kepada individu berusia 45 hingga 75 tahun dengan sejarah merokok melebihi 20 tahun, usia dipilih berdasarkan mereka paling berisiko mendapat kanser paru-paru. Jika dikesan awal, peluang hidup melebihi lima tahun meningkat 56 peratus,” katanya.

Berita Harian X