Sabtu, 14 Disember 2019 | 7:42am
Agen bertindak rangsang sistem pertahanan badan daripada serangan virus, bakteria.

Vaksin cegah penyakit

KES seorang bayi berusia tiga bulan di Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio pada 6 Disember lalu mengejutkan negara kerana selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit berkenaan, kini ia muncul semula.

Bayi itu yang mengalami demam diikuti lemah anggota badan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) selepas hasil ujian pengesahan dijalankan Makmal Polio Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia.

Susulan kes itu yang didakwa disebabkan ketiadaan program imuninasi vaksin bagi mencegah penyakit terbabit diambil mangsa, malah dikatakan penduduk di kawasan itu keseluruhannya menolak vaksin, menyebabkan pelbagai pihak kini mula menyedari kepentingan vaksin.

Ramai menyangka vaksin adalah ubat bagi merawat penyakit, sedangkan ia dua perkara berbeza. Ini kerana vaksin sebenarnya bertindak bagi menghalang penyakit yang perlu diambil oleh individu sihat dalam kelompok yang besar, manakala ubat pula diambil untuk merawat penyakit bagi individu yang menghadapi masalah kesihatan.

Tanpa vaksin mudah dijangkiti penyakit

Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia. Ia diperbuat dalam makmal yang kawalan kebersihannya sangat diutamakan.

Sebenarnya vaksin adalah sejenis bahan diperbuat daripada agen bakteria yang dimatikan dan dilemahkan fungsi bahayanya atau bahan menyerupai toksin tidak berbahaya.

Banyak penyakit berjangkit boleh menyebabkan kecacatan atau kematian khasnya kanak-kanak, tetapi dengan adanya teknologi, vaksin dicipta bagi mengatasi masalah itu.

Imunisasi vaksin secara suntikan sama ada melalui otot, di bawah kulit atau melalui mulut cara paling efektif mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit.

Semua kanak-kanak berhak mendapat imunisasi vaksin lengkap kerana tahap imuniti badan mereka masih dalam proses pembinaan dan perlu diperkuatkan.

Ketua Hal Ehwal Saintifik dan Kesihatan Awam, Hal Ehwal Perubatan Global GlaxoSmithKline (GSK Vaksin) di Belgium, Dr Otavio Cintra, berkata kesan sampingan pengambilan vaksin sangat rendah berbanding yang makan ubat.

“Vaksin berupaya mencegah penyakit dan pengambilan dalam kelompok masyarakat yang besar membolehkan sesuatu komuniti itu memiliki kehidupan sihat.

“Jika kita menghalang penyakit, ini bermakna kita mengurangkan pengambilan ubat yang memakan kos sangat tinggi, sekali gus mengurangkan kesan negatif ubat berkenaan untuk jangka panjang,” katanya ketika lawatan BH ke pejabat GSK di Belgium, baru-baru ini.

Vaksin diperbuat dalam makmal yang mengutamakan kawalan kebersihan.

Dr Cintra yang juga bekas penasihat Kementerian Kesihatan Brazil sebelum berkhidmat di GSK Vaccine, Belgium berkata, kajian menunjukkan pengambilan vaksin berjaya menurunkan kes jangkitan penyakit berbahaya di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh, penyakit polio berkurangan hampir 100 peratus iaitu 42 kes pada 2016 berbanding 53,000 kes pada 1980, manakala pertussis atau batuk kokol menurun hingga 94 peratus kepada 123,000 kes berbanding hampir dua juta kes bagi tempoh sama, difteria (berkurangan 93 peratus), tetanus atau kancing gigi (menurun 89 peratus), rubella (kurang 96 peratus) dan tetanus (neonatal) berkurangan 85 peratus.

Program imunisasi vaksin ini secara umumnya memberi lebih fokus kepada kanak-kanak dan hampir melupakan golongan dewasa, sedangkan kepentingan bagi mendapatkan taraf kesihatan terbaik merangkumi semua peringkat umur.

Ini disebabkan anggapan bahawa antibodi melawan penyakit dimiliki golongan berusia lebih tinggi berbanding kanak-kanak.

Sebenarnya, sistem pertahanan badan golongan berusia melebihi 60 tahun semakin berkurangan dan data menunjukkan 99 peratus daripada lebih 40,000 kematian setiap tahun di Amerika Syarikat disebabkan penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin membabitkan golongan dewasa.

Susulan itu, mengekalkan tahap imuniti badan sangat penting bagi setiap individu bagi memastikan kehidupan terus sihat dan bebas jangkitan penyakit pada usia emas.

“Program imunisasi berjaya menyelamatkan 2.5 juta kematian kanak-kanak setahun akibat penyakit berjangkit, selain menghindar 750,000 kanak-kanak daripada mengalami kecacatan akibat penyakit berkenaan bagi tempoh sama.

“Ini kerana 30 vaksin yang ada sekarang berupaya mencegah penyakit atau mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu terhadap manusia,” katanya.

Mengulas ketahanan vaksin diambil bagi setiap individu, Dr Cintra berkata, ia mampu memberi perlindungan selama 10 tahun, tetapi bagi memastikan keberkesanannya mencapai tahap maksimum, dos tambahan atau booster perlu diambil secara berkala.

Pindahkan kuman kepada 17 kes baharu

Mengulas penyakit batuk kokol yang biasa menyerang golongan dewasa, Dr Cintra berkata, jangkitan penyakit ini mudah disebarkan secara meluas dengan seorang pesakit boleh memindahkan kuman berkenaan kepada 17 kes baharu.

Simptom penyakit batuk kokol biasanya dikaitkan dengan demam dan batuk dalam tempoh lama. Ada kalanya pesakit mendapatkan rawatan biasa dengan mengambil ubat seperti antibiotik yang menyebabkan sakit berkurangan, sekali gus menyangka ia akan pulih.

Ini berbahaya kerana penyakit batuk kokol tidak dirawat dengan sepatutnya dan mereka ini bergaul dengan bayi serta kanak-kanak mudah memindahkan wabak itu kepada golongan terbabit.

“Bayi memang tidak boleh diberi vaksin termasuk bagi menghalang batuk kokol ini sehingga mereka berusia melebihi dua bulan. Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan selepas dilahirkan, mereka terdedah dengan jangkitan penyakit berbahaya termasuk batuk kokol yang boleh menyebabkan kematian.

“Di Afrika, seramai 1,602 bayi berusia kurang sebulan mati akibat batuk kokol pada 2015 dan 341 kematian di Asia Tenggara bagi tempoh sama.

“Jadi, ibu mengandung perlu mengambil vaksin Tetanus, Diphtheria dan Pertussis (TDAP) bagi membolehkan antibodi dalam diri mereka menghalang batuk kokol turut melindungi bayi dikandung sehingga dilahirkan,” katanya.

30 negara syor ambil vaksin TDAP

Vaksin ini perlu diambil ibu berkenaan pada setiap kali mereka mengandung walaupun tempoh mengandung itu berlaku setahun sekali bagi memastikan anak yang dilahirkan kelak bebas daripada batuk kokol.

“Sehingga Mac lalu, lebih 30 negara di dunia mengesyorkan pengambilan vaksin TDAP dalam kalangan ibu mengandung,” katanya.

Dr Cintra berkata, dianggarkan lebih 1.6 bilion penduduk dunia berusia lebih 65 tahun, pada 2050 berbanding 617 juta pada masa ini, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko dijangkiti batuk kokol.

Susulan itu, katanya, langkah pencegahan menerusi pengambilan vaksin wajar dilakukan bagi mengelak warga emas dijangkiti wabak batuk kokol yang menyebabkan mereka mengalami komplikasi radang paru-paru, keretakan tulang rusuk, kencing tidak lawas dan hernia serta terlantar di hospital.

Berita Harian X