Sabtu, 14 Disember 2019 | 4:30pm
PAKAR Perunding Oftalmologi, Kornea dan Pembedahan Laser Refraktif Pusat Perubatan Sunway, Dr Umi Kalthum Md Noh. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Melihat dengan jelas selepas jalani rawatan lasik

MASALAH rabun cukup merimaskan kerana keadaan itu menyebabkan individu menyebabkan sukar melihat dengan jelas tanpa bantuan cermin mata atau kanta lekap.

Memakai cermin mata menyebabkan ketidakselesaan terutama ketika beriadah, bersukan atau menata rias pada bahagian mata.

Seiring peredaran masa, teknologi pembedahan laser refraktif, iaitu kaedah rawatan mata secara laser sepenuhnya menjadi pilihan bagi menyelesaikan masalah rabun. Anda tidak perlu lagi memakai cermin mata atau kanta lekap yang biasanya menyebabkan mata merah dan jangkitan jika tidak dijaga dengan sempurna.

Seiring peredaran zaman, generasi muda cenderung melakukan pembedahan laser untuk mendapatkan penglihatan jelas tanpa cermin mata atau kanta lekap.

PAKAR Perunding Oftalmologi, Kornea dan Pembedahan Laser Refraktif Pusat Perubatan Sunway, Dr Umi Kalthum Md Noh. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pakar Perunding Oftalmologi, Kornea dan Pembedahan Laser Refraktif Pusat Perubatan Sunway, Dr Umi Kalthum Md Noh, berkata pembedahan laser atau pembesaran laser refraktif bertujuan membantu seseorang melihat dengan jelas tanpa bergantung cermin mata atau kanta lekap.

Katanya, rawatan boleh dilakukan oleh individu berusia antara 18 sehingga 45 tahun. Selain itu, individu yang memilih rawatan ini perlu menjalani pemeriksaan secara terperinci bagi memastikan masalah penglihatan kabur bukan disebabkan masalah lain kecuali salah bias atau refractive error.

“Kaedah laser selamat, berkesan dan kebanyakan individu yang menjalani rawatan itu dapat melihat dengan lebih baik selepas hanya beberapa hari menjalani prosedur pembedahan.

“Rawatan laser hanya membabitkan pembedahan pada kornea, iaitu permukaan luar mata, sesuai untuk mereka yang memilih gaya hidup aktif seperti bersukan, berenang atau pengguna kanta lekap yang mempunyai alahan terhadap penggunaan kanta lekap terlalu lama,” katanya.

Rawatan laser lebih selamat

Dr Umi Kalthum berkata, sebelum teknologi laser diperkenalkan, pembedahan untuk mengubah bentuk kornea dilakukan menggunakan pisau.

Namun, perkembangan teknologi terkini, pembedahan menggunakan kaedah laser lebih selamat, jitu dan kurang berisiko berbanding menggunakan pisau.

Beliau berkata, terdapat tiga kaedah membetulkan penglihatan ini, iaitu photorefractive keratectomy (PRK) iaitu generasi pertama pembedahan laser refraktif.

Pembedahan mata 'laser assisted in-situ keratomileusis' (LASIK) iaitu generasi kedua, sementara kaedah terkini adalah dikenali sebagai small incision lenticule extraction (SMILE).

Katanya, kaedah SMILE itu hanya menghasilkan luka kecil sekitar satu per lima hingga satu per lapan sahaja berbanding saiz luka akibat akibat LASIK.

“Oleh itu, kaedah SMILE memberikan keselesaan lebih baik, struktur kornea yang lebih kuat dan mata kurang kering berbanding LASIK.

“Bagaimanapun, sama ada LASIK atau SMILE, luka yang dihasilkan ketika pembedahan biasanya akan sembuh dengan baik dan kedua-dua rawatan ini memberi hasil penglihatan sempurna pada masa singkat,” katanya.

Katanya, pembedahan laser selamat, berisiko rendah, selesa, efektif dan pesakit berjaya melihat dengan baik dalam masa beberapa hari selepas pembedahan.

“Pesakit mempunyai pilihan meneruskan rawatan ini atau tidak selepas diberi penerangan rapi oleh doktor yang terlebih dahulu memeriksa keadaan matanya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua bermasalah rabun boleh menjalani rawatan ini, sebaliknya perlu dilihat dari aspek tahap rabun, ketebalan kornea dan bentuk permukaan hadapan dan belakang kornea.

“Mereka perlu membuat pemeriksaan lanjut di pusat pakar mata yang menawarkan kaedah laser refraktif supaya tahu mengenai kesesuaian, kelebihan, kesan sampingan, rawatan alternatif serta boleh mengemukakan sebarang persoalan mengenai pembedahan laser refraktif,” katanya.

Beliau berpendapat, pemakaian cermin mata tidak boleh dibandingkan dengan pembedahan laser kerana ia tidak membabitkan apa-apa pembedahan, sedangkan rawatan laser refraktif adalah satu bentuk pembedahan, walaupun berisiko rendah.

“Kebanyakan individu memilih cara rawat laser refraktif supaya mereka dapat melihat dengan jelas tanpa memakai cermin mata dan dapat melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang menjalani rawatan pembedahan laser ini perlu melakukan rawatan susulan pada hari pertama, minggu pertama dan sebulan selepas pembedahan.

INFO

Penilaian sebelum pembedahan

* Sejarah mata dan perubatan lengkap.

* Pemeriksaan mata secara menyeluruh.

* Pemeriksaan topografi / permukaan kornea.

* Pemeriksaan ketebalan kornea.

Refraksi

* Penilaian tahap penglihatan, rabun, silau dan permukaan okular.

* Kanta sentuh lembut tidak digunakan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemeriksaan.

* Kanta sentuh tegar perlu dikeluarkan beberapa minggu sebelum peperiksaan.

* Kanta sentuh lembut selepas beberapa hari sebelum pemeriksaan.

* Salah bias harus stabil sebelum pembedahan laser refraktif.

Kemungkinan kesan sampingan dan komplikasi

* Mata kering.

* Pecahan cahaya terutama di waktu malam

* Pengurangan dalam kontras sensitiviti

* Komplikasi yang berkaitan dengan flap (katup) LASIK

* katup - tertanggal, tidak lengkap, berlubang, berkedut/berlipat atau hilang/salah tempat (risiko tinggi jika menggunakan pisau)

* Radang

Penjagaan selepas pembedahan

* Ubat titis mata (antibiotik dan steroid) diberi selepas pembedahan

* Ubat pelembap mata tanpa bahan pengawet diberi untuk beberapa minggu atau bulan bergantung pada gejala mata kering.

* Refraksi akan stabil bagi kes myopia dalam tempoh satu hingga tiga bulan.

Berita Harian X