Ahad, 15 Disember 2019 | 2:22pm

Cegah diabetes seawal usia

PUCHONG: Ibu bapa perlu lebih ‘kejam’ dengan tidak memberikan makanan dan minuman manis kepada anak-anak bagi mencegah penyakit diabetes pada awal usia mereka.

Diet tinggi gula bukan saja menjadi penyumbang kepada diabetes tetapi penyakit tiga serangkai lain iaitu jantung, darah tinggi dan buat pinggang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata ibu bapa hari ini perlu mementingkan kesihatan keluarga demi masa depan mereka.

Beliau berkata, latih mereka menikmati sajian seimbang dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan bagi mengelak penyakit bahaya.

“Anak-anak milenia hari ini dibesarkan oleh ibu bapa generasi X yang semuanya mahu mudah serta cepat termasuk makan makanan segera yang tidak berkhasiat khasiat selain mengenyangkan.

“Sajian makan segera serta minuman tinggi kandungan gula termasuk minuman berkarbonat meningkatkan kandungan glukos dalam darah.

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) dan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan hadir pada Karnival Kesejahteraan, Kebajikan dan Wanita atau 3W (Wellness, Welfare dan Woman) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2019, bertemakan ‘Hari Diabetes dan Kanak-Kanak’ anjuran kerajaan negeri di Puchong, hari ini. - Foto Khairul Azhar Ahmad

“Sewajarnya dari kecil diasuh minum air kosong bagi membiasakan lidah mereka. Ini mungkin nampak enteng tetapi hendak mengubah tabiat bukan mudah kalau tidak diasuh sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Kesejahteraan, Kebajikan dan Wanita atau 3W (Wellness, Welfare dan Woman) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2019, bertemakan ‘Hari Diabetes dan Kanak-Kanak’ anjuran kerajaan negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Karnival itu dianjurkan di 11 pihak berkuasa tempatan di sekitar Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga sejak 10 Februari lalu dan berakhir hari ini bertujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

Dr Siti Mariah berkata pencegahan diabetes dalam kalangan kanak-kanak dan usia muda penting bagi memastikan generasi akan datang lebih sihat.

“Hari ini masalah kanak-kanak bantut tetapi obes semakin meningkat yang mana ia antara ciri-ciri yang boleh mendedahkan seseorang dengan penyakit kencing manis.

“Selain menjaga pemakanan, orang ramai digalak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan setiap tahun bagi mengesan sebarang penyakit lebih awal,” katanya.

Berita Harian X