Sabtu, 28 Disember 2019 | 10:00am
WHO merekodkan 71-85 peratus kematian membabitkan warga emas di seluruh dunia disebabkan radang paru-paru dan masalah lain berkaitan influenza bermusim. - Foto hiasan
WHO merekodkan 71-85 peratus kematian membabitkan warga emas di seluruh dunia disebabkan radang paru-paru dan masalah lain berkaitan influenza bermusim. - Foto hiasan

Vaksin influenza elak virus 'perangkap' maut

WARGA emas berusia 65 tahun ke atas berhadapan risiko 90 peratus dijangkiti virus influenza sehingga boleh membawa maut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 71 hingga 85 peratus kematian membabitkan warga emas di seluruh dunia disebabkan radang paru-paru dan masalah lain berkaitan influenza bermusim.

Pakar Perunding Perubatan dan Geriatrik, Dr Nordiana Nordin, berkata pengetahuan mengenai jangkitan influenza di seluruh dunia masih rendah disebabkan pemahaman yang salah.

Pakar Perunding Perubatan dan Geriatrik, Dr Nordiana Nordin. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Pakar Perunding Perubatan dan Geriatrik, Dr Nordiana Nordin. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Katanya, influenza atau disebut flu dan demam selesema adalah dua kes jangkitan berbeza, biasanya orang awam salah faham kedua-duanya sama.

“Selesema mempunyai simptom seperti hidung berair, sakit tekak, batuk dan demam dalam tempoh yang pendek dan mampu pulih sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

“Berbeza flu semua simptom sama dengan selesema, dengan demam yang lama, sakit kepala, sakit otot, sengal sendi, iaitu lima hingga tujuh hari untuk sembuh. Flu juga mempunyai beberapa peringkat iaitu biasa, sederhana dan kritikal.

“Malah jangkitan influenza boleh menyebabkan komplikasi radang paru-paru dan inflamasi otak seterusnya membawa maut,” katanya.

Dr Nordiana berkata, pemahaman mengenai influenza masih rendah dalam kalangan warga emas dengan menganggap tidak perlu mengambil vaksin kerana simptom dialami sebagai selesema biasa.

Ramai tidak peka menyuntik vaksin dan menganggap influenza atau flu sekadar gangguan biasa.

“Kebanyakan individu mengambil vaksin ketika mahu melancong ke luar negara dan menunaikan haji dan umrah.

“Influenza ada di mana-mana dan menyerang sepanjang tahun tanpa mengikut musim. Bagi mengelak sebarang jangkitan, orang ramai digalak mengambil vaksin influenza,” katanya.

Dr Nordiana berkata, selesema disebabkan virus (rhinovirus) dan tidak memerlukan antiviral.

Influenza digalakkan mengambil antiviral setelah dijangkiti, pada kebiasaannya pesakit datang lambat ke hospital kerana mereka fikir hanya dijangkiti demam selesema biasa.

Kementerian Kesihatan menyangkal dakwaan dan khabar angin yang menyatakan stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza di fasiliti kementerian tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok. - Foto hiasan
Kementerian Kesihatan menyangkal dakwaan dan khabar angin yang menyatakan stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza di fasiliti kementerian tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok. - Foto hiasan

Memandangkan warga emas mempunyai antibodi yang rendah, kebarangkalian mereka dijangkiti influenza sangat tinggi menyebabkan peratusan kes mortaliti dalam kalangan golongan ini meningkat.

Kekurangan penerbitan rekod jangkitan dan kematian untuk kes influenza di negara ini kerana pesakit selalu ke hospital selepas mengalami komplikasi influenza, contohnya radang paru paru, selepas demam lama.

“Mereka mungkin tidak disiasat sebagai penyakit influenza, tetapi disahkan komplikasi radang paru-paru. Biasanya, di dalam kes komplikasi sebegini, pesakit boleh dijangkiti bakteria sekondari.

“Besar kemungkinan, influenza juga tidak disyaki disebabkan simptom sebelum datang ke hospital tidak serius. Oleh kerana ini, peratus sebenar kematian disebabkan influenza tidak dapat dipastikan,” katanya.

Pengambilan vaksin mengikut saranan pakar mampu mengelak 650,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun.

Di negara ini, kadar pengambilan imunisasi influenza rendah, hanya dua peratus melakukannya.

Diharapkan lebih ramai mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan bagi meningkatkan sistem imun badan bagi mengelak sebarang jangkitan, terutama dalam kalangan warga emas.

Info komplikasi influenza

• Radang paru-paru

• Radang otak

• Komplikasi kulit

Berita Harian X