Sabtu, 4 Januari 2020 | 10:30am
Suntikan vaksin yang diberikan kepada wanita bertujuan melindungi mereka daripada virus penyebab kanser pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser serviks.
Suntikan vaksin yang diberikan kepada wanita bertujuan melindungi mereka daripada virus penyebab kanser pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser serviks.

HPV kalis jangkitan kanser

Suntikan vaksin yang diberikan kepada wanita bertujuan melindungi mereka daripada virus penyebab kanser pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser serviks dan jika diabaikan berisiko membawa maut.

Justeru, suntikan berkenaan memang diperlukan tidak mengira dari negara maju atau miskin kerana ia sebagai langkah awal bagi mencegah penyakit itu.

Data yang dikeluarkan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (IARC), menunjukkan anggaran 570,000 kes kanser serviks baharu dikesan di seluruh dunia tahun lalu, sekali gus menjadikan ia kanser keempat paling tinggi dihidapi golongan wanita.

Setiap tahun, lebih 310,000 wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dan majoriti mangsa yang maut adalah dalam kalangan mereka di negara miskin, kerana kadar imunisasi vaksin human papillomavirus (HPV) adalah rendah.

Terbaru, kajian penyelidik Amerika Syarikat, mendedahkan hanya dengan satu dos suntikan vaksin virus papiloma manusia atau HPV sudah mencukupi untuk mengelakkan jangkitan walaupun doktor mengesyorkan dua hingga tiga dos suntikan HPV.

Ia lebih baik berbanding mereka yang langsung tidak mengambil suntikan HPV sebagai pencegahan kepada penyakit berbahaya seperti kanser serviks.

Kajian dijalankan membabitkan 1,620 wanita di Amerika Syarikat yang berusia 18 hingga 26 tahun antara 2009 dan 2016. Hasil keputusan menunjukkan bahawa 11 peratus daripada 1,004 wanita yang tidak mengambil vaksin positif untuk jenis HPV 6, 11, 16 dan 18.

Jenis HPV 6 dan 11 adalah jenis HPV yang berisiko rendah, manakala jenis 16 dan 18 adalah menyebabkan risiko kanser serviks kepada wanita.

Kajian diterbitkan dalam JAMA Network Open yang dihasilkan Sekolah Kesihatan Universiti Texas melihat penemuan itu bakal menggalakkan lebih ramai wanita menerima suntikan bagi melindungi diri daripada HPV, jangkitan seksual yang paling lazim berlaku di Amerika Syarikat.

HPV sering dikaitkan dengan beberapa kanser termasuk prostat, tekak dan serviks dan menjangkiti lebih 79 juta rakyat Amerika Syarikat.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), juga mengesyorkan kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun boleh mendapatkan dua hingga tiga suntikan pada usia itu.

Kajian itu turut mendedahkan, wanita yang menerima satu, dua atau tiga dos lebih banyak dilindungi daripada mereka yang tidak langsung menerima suntikan ini.

Wanita yang menerima hanya satu dos vaksin HPV juga mungkin dilindungi daripada virus itu seperti mereka yang menerima dua hingga tiga dos yang disyorkan pakar perubatan.

Sejak vaksin HPV diperkenalkan pada 2006, sekurang-kurangnya 79 negara dan wilayah melaksanakan program vaksinasi nasional HPV yang dibiayai oleh orang awam.

Di Amerika Syarikat, vaksin ini ditawarkan dalam dua atau tiga dos sepanjang enam bulan untuk perempuan yang berumur antara 11 dan 12 tahun, dengan siri pengambilan yang disyorkan tidak lewat daripada umur 26 tahun.

Di United Kingdom, semua kanak-kanak perempuan berumur antara 12 hingga 18 tahun ditawarkan vaksinasi percuma HPV dalam tempoh enam hingga 12 bulan termasuk anak lelaki berusia 12 dan 13 tahun.

CDC menjelaskan sebanyak 34,800 orang didiagnosis dengan kanser yang dikaitkan dengan HPV setiap tahun.

Ia dikaitkan dengan 90 peratus daripada semua kanser serviks dan dubur, 60 peratus kanser zakar dan 70 peratus menghidap kanser mulut.

Berita Harian X