Sabtu, 11 Januari 2020 | 9:00am

Puasa dua hari seminggu cegah obesiti

PELBAGAI kaedah dilakukan bertujuan untuk menurunkan berat badan bagi mendapatkan bentuk tubuh ideal dan sihat.

Sesetengahnya bersenam, bersukan, gimnasium, mendaki gunung dan sebagainya, selain mengamalkan diet dalam pengambilan makanan.

Antara kaedah diet yang semakin digemari iaitu dengan mengamalkan puasa berselang atau ‘intermittent fasting’. Sebenarnya bagi yang beragama Islam berpuasa Isnin dan Khamis mampu membantu mengekalkan berat badan ideal.

Pengasas Worldwellness Networking Sdn Bhd, Prof Datuk Dr Noordin Darus, berkata konsep ‘lima dua’ yang menjadi amalan junjungan besar Rasulullah SAW sudah memadai.

“Saya nasihatkan orang Islam supaya jangan risau, Rasulullah SAW sudah mengesyorkan yang terbaik buat semua manusia, begitu juga konsep Dr Noordin Diet (DND).

“Sepatutnya pengamal konsep Lima Dua, tidak perlu makan selepas jam 8 malam hingga 8 pagi, kecuali bersahur dengan buah-buahan dan minum air. Ini juga dinamakan sebagai berpuasa berselang atau “intermittent fasting’.

“Berpuasa sunat dua hari amat bagus, malah Islam menyarankan sebelah pagi supaya kita calit garam. Amalkan DND diet dengan mengambil kuantiti buah pada waktu pagi.

“Ketika berbuka puasa kurangkan makan nasi dan ubi yang mengandungi karbohidrat,” katanya.

BERSENAM bantu turunkan berat badan di samping mengamalkan pemakanan sihat.

Berat badan turun mendadak

Jika “intermittent fasting” yang diamal di barat, Dr Noordin berkata, mereka menggunakan konsep 16/8, 18/6 dan 20/4 dengan harapan diet berkenaan dapat menurun berat badan secara drastik.

Katanya, sistem 16/8 menyaksikan pengamal diet perlu berpuasa bermula jam 8 malam hingga 12 tengahari terpaksa lupakan sarapan, selepas itu boleh makan jam 12 tengah hari dan jam 8 malam.

“Sistem 18/6 begitu juga menetapkan pengamal diet makan makan jam 12 tengah hari dan jam 6 petang. Sepanjang enam jam mereka boleh minum air.

“Kalau hendak diikut konsep “intermittent fasting”, kita langsung tidak dibenarkan makan. Mereka benarkan minum kopi tanpa gula, tetapi boleh sertakan marjerin yang dipanggil ‘bullet proof coffee’, kononnya membuatkan si pengamal tidak lapar. Pada saya tidak perlu dan didengari pelik.

“Begitu juga ada yang amalkan konsep 20/4, di mana pengamal berlapar 20 jam bermula 6 petang hingga 2 petang keesokannya. Pada saya tidak perlu konsep sebegini kerana boleh mendatang masalah pada sistem penghadaman,” katanya.

Dr Noordin berkata, ramai yang berpuasa berselang untuk menurunkan berat badan, walhal sebaliknya ia mampu mengawal diabetes, tekanan darah tinggi, strok dan sakit berkaitan kardiovaskular.

Justeru, beliau mencadangkan konsep DND diterima orang ramai kerana lebih mirip kepada sunnah Rasulullah SAW yang berpuasa Isnin dan Khamis.

Berita Harian X