Sabtu, 18 Januari 2020 | 10:00am
Kaedah diet puasa berselang atau ‘intermittent fasting’ antara kaedah terbaik wajar diamalkan. - Gambar hiasan

Tubuh langsing dengan puasa selang-seli

Ramai mengimpikan tubuh sihat dan langsing. Namun, impian itu tidak tercapai disebabkan pelbagai alasan.

Kaedah diet puasa berselang atau ‘intermittent fasting’ antara kaedah terbaik wajar diamalkan.

Bagi diet jenis ini, perut kita sentiasa diberi ruang berehat daripada memproses makanan yang sekali gus menjadi cara yang efektif untuk mengawal berat badan

‘Intermittent fasting’ menjadi amat popular dalam kalangan masyarakat sebagai satu kaedah untuk menurunkan berat badan kerana ia dikatakan lebih ‘mesra’ dan tidak membebankan.

Asal ada kaedah yang baru diperkenalkan, ramai yang teruja mencuba dengan harapan ia dapat membantu mereka mendapat semula bentuk badan idaman.

Pada asasnya ‘intermittent fasting’ dilakukan dengan makan secara biasa pada beberapa hari dalam seminggu dan makan sedikit pada hari lain.

Makan sahaja mengikut selera dan pengamal diet ini masih boleh minum sepanjang tempoh mereka berpuasa.

Penyokong amalan diet ini mempercayai dengan berpuasa, pengambilan kalori daripada makanan menjadi lebih sedikit daripada kalori yang dibakar dan seterusnya menyumbang kepada penurunan berat badan.

Puasa berselang-seli ini, adalah satu kitaran yang mana ada masa anda dibenarkan makan dan berpuasa.

Bagaimanapun, amalan ini tidak disarankan kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusu bayi selain penghidap penyakit kronik.

Sesiapa yang mahu menjalani diet seperti ini, disarankan merujuk kepada doktor untuk nasihat.

Anda juga perlu minum air secukupnya. Ini kerana ketika berpuasa badan menghasilkan hormon secara berlebihan, insulin meningkat dan tempoh penyesuaian.

Panduan puasa berselang

* Apa saja diet yang anda pilih pastikan ia selamat.

* Elakkan dehidrasi dengan minum banyak air putih, kopi dan teh tanpa gula serta susu.

* Amalkan pemakanan sihat dan bernutrisi

* Amalkan pengambilan vitamin bagi meningkatkan imunisasi.

* Bagi mengurangkan pengambilan kalori tinggi, amalkan snek berkhasiat seperti kekacang, buah dan pemakanan mengandungi antioksida, protein dan vitamin B.

* Puasa jenis ini unik bukan disebabkan apa anda makan, ia adalah disebabkan bila anda makan.

* Setiap hari anda makan cuma dalam tempoh lapan jam tetapi pastikan apa anda makan berbaloi untuk menyimpan tenaga hari seterusnya. Elakkan berpuasa lebih 18 jam sehari.

* Amalkan paling minimum dua kali seminggu

* Elak minum dan makanan berkalori.

Berita Harian X