Ahad, 19 Januari 2020 | 8:24pm

Ulser mulut petanda awal kanser

KANSER atau ketumbuhan luar kawal berlaku di dalam badan, perlukan rawatan segera bagi mengelak pelbagai komplikasi kesihatan hingga boleh meragut nyawa.

Begitu juga dengan kanser mulut, antara barah yang memerlukan rawatan menyeluruh, seperti kanser lain seperti payudara dan paru-paru.

Kanser terjadi pada bahagian rongga mulut iaitu di bahagian bibir, lidah, lapisan dalam pipi, lantai mulut (bawah lidah), gusi, lelangit keras, rahang dan bahagian retromolar (belakang gigi geraham).

Ketua Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Sivakama Sunthari, berkata ulser atau pecahan pada rongga mulut tidak sembuh lebih dua minggu perlu dirawat bagi mengesan jika keadaan itu adalah simptom awal kanser mulut.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit tidak sedar dan kebiasaannya mereka pergi ke klinik dengan beranggapan keadaan itu disebabkan ulser biasa.

“Pesakit disarankan segera berjumpa doktor gigi berbanding pakar perubatan. Ini kerana pakar gigi dan mulut lebih arif mengenai sebarang perubahan dalam rongga berkenaan.

Prosedur mengesan gejala kanser mulut.

“Mereka mahir mengenal pasti perubahan dalam mulut,” katanya ketika ditemui pada Minggu Kesedaran Kanser Mulut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya melakukan rawatan pada peringkat awal, iaitu pada tahap I atau II, pesakit berpeluang sembuh sepenuhnya.

Buang tabiat makan sirih pinang

“Namun, sekiranya tidak dirawat segera dikhuatiri merebak hingga keluar kawasan mulut dan turun ke kelenjar limfa di bahagian leher. Peringkat ini bila berlanjutan dilihat sebagai bengkak bahagian leher.

“Apabila kanser mulut merebak ke bahagian lain dalam badan, peluang untuk sembuh sukar.

“Tidak dinafikan pengambilan daun sirih dicampur kapur, pinang dan tembakau meningkatkan risiko barah mulut,” katanya.

Ketua Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial HKL, Dr Sivakama Sunthari. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Dr Sivakama berkata, campuran dikunyah dan disimpan di dalam mulut pada bahagian pipi untuk tempoh lama. Amalan berpanjangan bagi tempoh 20 hingga 30 tahun itu menyebabkan perubahan tisu lembut pada mulut.

Amalan itu juga katanya, menyebabkan ulser yang tidak sembuh hingga membawa kepada simptom awal kanser mulut.

“Tabiat buruk orang muda seperti merokok dan mengambil minuman beralkohol antara punca kanser mulut. Bagaimanapun mereka yang tidak mengamalkan tabiat buruk itu juga turut berisiko mendapat kanser berkenaan, selain faktor genetik,” katanya.

Bahaya ada tompok putih, merah

Kesan benjolan menyakitkan jejas proses pertuturan.

Kanser ‘squamous cell carcinoma’ (SCC) adalah barah paling kerap berlaku di dalam rongga mulut, iaitu 90 peratus daripada kes semua kanser dalam mulut.

Menurut kajian, hampir 70 peratus rakyat negara ini, mengetahui akan ancaman kanser mulut, namun kurang daripada 50 peratus daripada mereka mengetahui tanda awal penyakit berkenaan.

Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial HKL, Dr Mohammad Adzwin Yahiya, berkata antara tanda awal yang boleh dikesan antaranya apabila terdapat tompok putih atau merah di dalam rongga mulut selain merasakan terdapat bengkak atau benjolan dalam mulut.

Ganggu otot dan saraf lidah

“Sekiranya sel kanser merebak, terdapat kesan benjolan di bahagian leher, kelenjar limfa yang berfungsi sebagai penapis jangkitan akan membengkak,” katanya.

Antara tanda lewat lain paling ketara iaitu gangguan pertuturan. Lidah sukar bergerak untuk bercakap apabila sel kanser di kawasan otot menyekat pergerakan lidah hingga menjejaskan proses bertutur.

“Pesakit sukar menelan makanan kerana pergerakan lidah terbatas ketika menelan. Rasa kebas pada mulut terjadi apabila ketumbuhan menekan saraf. Ini menyebabkan pesakit hilang selera dan berat badan menurun,” katanya.

Vape belum dikesan punca kanser

Penghisap rokok elektronik atau vape turut memberi risiko barah mulut. - Foto hiasan

Mengulas fenomena penghisap rokok elektronik atau vape turut memberi risiko barah mulut, Dr Mohammad Adzwin berkata, keadaan itu masih belum dapat dibuktikan.

Namun beliau menjelaskan, bukti sedia ada menerusi penyelidikan seawal 1930 an, mendapati tembakau rokok disahkan punca utama kanser paru-paru.

“Penyelidikan mengambil masa lebih 20 tahun untuk mengenalpasti punca kanser disebabkan merokok, jadi vape adalah senario terkini yang masih belum disahkan kesan buruknya.

“Memang belum ada data mengatakan vape menyebabkan kanser mulut, namun begitu kajian sekumpulan pakar di University of Southern California, mendapati terdapat perubahan struktur sel di dalam mulut dalam kalangan penghisap vape.

“Kajian diterbitkan di dalam International Journal of Molecular Sciences 2019 mendapati perubahan bukan berubah kepada sel kanser atau pra kanser tetapi amaran awal mengenai perubahan yang boleh menyebabkan kanser,” katanya.

INFO

• Pesakit kanser mulut tahap awal (I dan II) berpeluang sembuh sekiranya mendapatkan rawatan segera.

• Amalan mengunyah sirih pinang, kapur dan tembakau tingkat risiko kanser mulut.

• Sebanyak 667 kes kanser mulut di laporkan terjadi di Malaysia pada 2018.

• Kira-kira dua individu didiagnosa dengan kanser mulut setiap hari.

• Statistik Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, HKL sehingga Oktober 2019, mendapati 60 kes dikesan menghidap kanser mulut kebanyakannya berada pada tahap III dan IV, berbanding 59 kes tahun lalu.

Berita Harian X