Sabtu, 25 Januari 2020 | 11:00am

Waspada ancaman wabak 2019-nCoV

MALAYSIA meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membendung penularan wabak 2019 coronavirus (2019-nCoV) di Wuhan, China.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai sumber lain, sehingga 22 Januari lalu, sebanyak 448 kes yang disahkan dijangkiti 2019-nCoV.

Kebanyakan kes itu dilaporkan oleh China dan tidak hanya terhad kepada penduduk setempat di Wuhan, dengan sembilan kes dilaporkan dari luar China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini, cara jangkitan 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas.

"Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahu pun kesukaran untuk bernafas. Terdapat kemungkinan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain terutama dalam kalangan kontak rapat.

"Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan WHO dan pelbagai pihak yang terbabit masih tidak dapat memberikan jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenal pasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus itu menular kepada manusia," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan menyarankan orang ramai yang ingin melawat China supaya menangguhkan perjalanan mereka kecuali bagi urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Katanya, orang ramai juga diingatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan terutama bagi pengembara semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia.

Langkah penjagaan:

  • Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan.
  • Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung.
  • Bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.
  • Elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan individu yang bergejala.
  • Tidak melawat ke ladang haiwan
  • Kunjungi pasar yang menjual haiwan hidup
  • Tmpat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
  • Elakkan makan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
  • Berita Harian X