Sabtu, 8 Februari 2020 | 10:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Bahana vape, jejaskan kesihatan mental

Beberapa tahun kebelakangan ini, tabiat penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape semakin meruncing berikutan ramai menganggapnya mampu mengalihkan ketagihan pada rokok konvensional.

Penggunaannya juga semakin meluas dalam kalangan remaja di bangku sekolah serta mereka yang tidak merokok, kerana vape dilihat trend atau gaya hidup serta tidak memudaratkan.

Lagi memburukkan keadaan peranti itu dicipta dalam pelbagai bentuk, saiz, cecair itu di salahguna, dimasukkan sebatian kimia sekali gus menjadikan ramai ketagih serta berubah kepada dwi-pengguna, rokok dan vape serentak.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata penggunaan vape itu umpama keseronokan terlarang dalam kalangan remaja yang seharusnya ditangani segera.

Katanya, vape tidak sekadar mempunyai bahan kimia berbahaya tetapi memancing populasi bukan perokok untuk mencubanya kerana didakwa tidak bahaya selain mengalihkan ketagihan pada rokok konvensional.

Tabiat merokok antara penyebab kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 10,000 perokok meninggal dunia dalam setahun, punca menghidap kanser, kerosakan paru-paru dan lain-lain.

"Sebenarnya e-rokok diperkenalkan sebagai alat menghentikan tabiat rokok bagaimanapun ia berubah menjadi popular dari segi gaya hidup dan mencerminkan jiwa remaja selain menarik minat wanita dan kanak-kanak mencubanya.

"Di negara membangun penggunaan vape banyak kelemahannya tidak seperti negara maju yang ada membenarkannya tetapi mereka mempunyai peraturan dan penguatkuasaan ketat," katanya.

Itu antara perkara yang disampaikannya dalam Syarahan Perdana Profesor mengenai Rokok Elektronik: Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja di Auditorium Kompleks Pendidikan Tuanku Ja'afar dekat Cheras, di sini.

Dr Sharifa Ezat berkata, apabila ada negara mengharamkannya, wujud lambakan bahan dan vape haram yang dibawa masuk ke dalam pasaran, sekali gus menjadikannya sukar untuk dikawal, lalu memberi kesan negatif terhadap masyarakat serta mewujudkan ramai pengguna dwi-pengguna, merokok dan menghisap vape.

"Produk formulasi haram ini juga antara penyebab kematian di mana di Amerika sudah 47 orang di Amerika pada 2019, akibat EVALI (kerosakan paru-paru akibat vape), di mana bercampur cecair e-jus dengan minyak ganja dan Vitamin E acetate.

"Bagaimanapun di United Kingdom, negara itu mempunyai kawalan sangat ketat terhadap rokok dan vape. Hal ini menunjukkan negara berkenaan bukan saja membenarkan, tetapi mengawalnya.

"Jika negara lain termasuk Malaysia dapat melaksanakan kawalan ketat, vape mungkin menjadi terapi yang baik untuk memberhentikan tabiat merokok," katanya.

Katanya, gejala vape ini akan menimbulkan risiko tidak dijangka serta mengakibatkan ketagihan dos nikotin yang lebih tinggi berikutan penggunaan rokok elektronik hampir sepanjang hari.

Dr Sharifa Ezat bersama buku tulisannya pada syarahan perdana Rokok Elektronik Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja’ di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jafaar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi
Dr Sharifa Ezat bersama buku tulisannya pada syarahan perdana Rokok Elektronik Keseronokan Terlarang Dalam Kalangan Remaja’ di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jafaar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Bagaimanapun, katanya kajian mendapati vape akan mengakibatkan gangguan psikologi dan menjejaskan kesihatan mental.

Beliau berkata,. klasifikasi remaja ini berbeza-beza mengikut negara. Misalnya di Malaysia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), remaja ditakrifkan berusia antara 15 hingga 24 tahun, di mana ramai perokok dan penghisap vape adalah daripada remaja.

"Melihat statistik di universiti, pengguna vape, perokok yang masih aktif atau menggunakan serentak akan lebih cenderung mengalami ketagihan nikotin, di mana dwi pengguna lebih mengalami gangguan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan atau tekanan.

"Faktor lain yang boleh mempengaruhinya ialah isu kewangan, pencapaian pelajaran dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata gejala kesihatan mental dalam kalangan pelajar universiti yang merokok atau menghisap vape itu diperoleh daripada kajian gangguan psikologi dalam kalangan pelajar universiti.

Menerusi kajian mengenai kemurungan, kebimbangan dan tekanan dalam kalangan pelajar sarjana muda oleh Choon Kim Teh, Choon Wei Ngo, Rashidatul Aniyah Zulkifli dan V Rammiya yang dilakukan pada 2015 mendapati gejala kemurungan peringkat sederhana dan teruk adalah dalam lingkungan 13.9 hingga 29.3 peratus, sementara gejala kebimbangan tahap sederhana dan teruk pada 51.5 hingga 55 peratus dan gejala tekanan 12.9 hingga 21.6 peratus.

"Kajian berkenaan turut mengenal pasti tahap kesihatan pelajar yang menggunakan rokok konvensional dan rokok elektronik menerusi ujian saringan Depression, Anxiety & Stress (DASS) yang keseluruhannya sebanyak 28 peratus, 35.4 peratus dan 15.7 peratus masing-masing mengalami gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan di tahap sederhana dan teruk," katanya.

Budaya merokok dalam kalangan wanita menunjukkan peningkatan namun kebelakangan ini ia didapati menurun. Bagaimanapun trend vape pada wanita menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Ini berikutan pengguna menganggap vape selamat, tiada nikotin dan selamat digunakan. Jadi sebahagian dari mereka mula mencubanya. Keadaan bertambah buruk apabila tiada pemantauan, remaja membawanya ke sekolah dan semakin berpotensi disalah guna. Ini agak bahaya, ibu bapa, guru dan sekolah harus melakukan pemantauan," katanya.

Katanya, dalam mengekang penggunaan vape, langkah penguatkuasaan perlu dilakukan semua pihak supaya ia mampu menyekat jualan dengan mengetatkan penguatkuasaan undang-undang bagi menghukum pelakunya.

INFO: E-rokok, vape

• Mulai Januari lalu KKM melaksanakan larangan menghisap rokok dan vape di semua tempat makan di seluruh negara.

• Disember 2019: KMM masih mengkaji sama ada penggunaan e-rokok dilarang ataupun dibenarkan dengan kawalan pada masa akan datang.

• 3kementerian kawal selia penggunaan e-rokok, iaitu KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertanggungjawab mengawal selia penggunaan dan penjualan e-rokok dan vape di negara ini.

Berita Harian X