X
Sabtu, 14 March 2020 | 10:30am
Bayi perlukan tidur antara 16 hingga 20 jam sehari. - Foto hiasan
Bayi perlukan tidur antara 16 hingga 20 jam sehari. - Foto hiasan

Bayi tak cukup tidur, jejas kesihatan mental

BAYI dan kanak-kanak memerlukan tidur yang mencukupi serta berkualiti untuk merangsang perkembangan otak.

Tidur yang mencukupi juga membantu memastikan perkembangan otak dan tubuh bayi membesar dengan baik, selain meningkatkan kecergasannya.

Bayi yang baru lahir pada keseluruhannya memerlukan tidur 16 hingga 20 jam sehari dan terjaga apabila tiba waktu makan.

Berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal BMJ ‘Archives of Disease in Childhood’, mendapati satu daripada lima bayi mengalami masalah tidur dalam tempoh 12 bulan pertama seperti kerap bangun atau kesukaran tidur.

Bayi ini tiga kali lebih mungkin mengalami masalah emosi pada usia empat tahun, penyelidik mendapati.

Kajian ini dilakukan membabitkan 1,500 bayi untuk tahun pertama kehidupan mereka - dengan ibu menjawab soal selidik tentang pola tidur bayi mereka pada usia tiga, enam, sembilan dan 12 bulan.

Setiap bayi diberi skor bergantung kepada corak tidur mereka dan dimasukkan ke dalam salah satu daripada tiga kategori pada akhir tahun pertama mereka.

Penyelidikan juga mendapati mereka yang mengalami masalah tidur yang berterusan dan teruk adalah 2.7 kali mungkin mengalami gejala atau masalah emosi apabila berusia empat tahun.

Bayi apabila mencapai usia kanak-kanak pula akan berdepan kebarangkalian 2.4 kali masalah gangguan emosi ketika mereka berusia 10 tahun.

Mereka juga mudah berdepan masalah kemurungan, gangguan obsesif kompulsif, bipolar dan turut dikaitkan dengan hiperaktif (ADHD).

Saintis dari Institut Penyelidikan Kanak-kanak Murdoch, Melbourne, Australia, berkata bayi yang menghadapi masalah tidur harus dipantau dengan teliti untuk mengelak masalah pada berkaitan kesihatan mental pada zaman kanak-kanak

Yang nyata, gangguan tidur berterusan ketika pada zaman kanak-kanak mungkin menjadi petunjuk awal menghadapi masalah kesihatan mental.

“Keluarga yang melaporkan masalah tidur bayi yang berterusan mungkin memerlukan sokongan untuk memastikan masalah tidur yang teruk perlu dipantau secara berkala supaya tidak menjejaskan kesihatan mental semasa kanak-kanak,” katanya - Agensi

INFO:

Membantu bayi tidur:

• Kenal pasti masa sesuai untuk tidur.

• Sediakan tempat tidur yang selesa dan selamat.

• Hindarkan rangsangan berlebihan ketika menyusukan bayi pada waktu malam & ketika menukar lampin.

• Gelapkan bilik.

• Pastikan bilik selesa dan senyap.

Berita Harian X