Sabtu, 21 March 2020 | 8:04am

COVID-19: Aktiviti senaman dalam rumah

Impak COVID-19 maha hebat sehingga menjejaskan banyak pergerakan dan aktiviti seharian.

Angka kematian dan yang positif virus itu melonjak mendadak di negara di seluruh dunia dan memaksa larangan Perintah Kawalan Pergerakan dan ada yang mengambil langkah perintah berkurung.

Semua dinasihatkan duduk di rumah untuk mengekang penularan wabak bertambah kritikal. Namun, bagi orang ramai mereka masih boleh melakukan aktiviti senaman di rumah bagi memastikan tubuh sihat.

Contohnya, sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan Jepun ke atas rakyatnya, tidak menghalang penduduknya negara itu yang terdiri daripada warga emas untuk mencari alternatif bagi mengisi masa lapang.

Apa yang menarik, kebanyakan warga emas di negara itu berjaya mengisi masa lapang dengan melakukan senaman ringan dengan hanya berpandukan video yang dimuat naik di laman Youtube.

Senaman di rumah

Video bertajuk “Human Taiso” (Senaman Manusia) itu boleh dilayari pengguna selepas dimuat naik oleh pengendali rumah jagaan orang tua, Human Life.

Pengurus Bahagian Strategik Human Life, Satoshi Matsuzaka, berkata sebelum ini pihaknya mengendalikan kelas senaman di pusat itu dengan menggunakan kaedah sama.

Katanya, dalam usaha membantu masyarakat menangani wabak itu, pihaknya kemudian memuat naik video berkenaan bagi kegunaan orang ramai.

"Ramai yang gemar beriadah, namun dalam keadaan seperti ini, mereka tidak lagi keluar dari rumah.

"Dengan memuat naik video ini, saya berharap orang ramai boleh melakukan senaman di rumah dengan kaedah sama," katanya.

Lancarkan peredaran darah, otot kaki

Setakat ini, Jepun sudah membatalkan acara di tempat awam, menutup sekolah dan menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Warga emas dilaporkan antara golongan yang mudah terdedah kepada ancaman virus.

Malah, Jepun antara negara yang mempunyai populasi tertua dengan 28 peratus berusia antara 65 tahun ke atas.

Video berdurasi lima minit itu, menampilkan pelbagai kaedah senaman dan regangan yang boleh membantu melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot kaki dan belakang.

Menurut Rieko Kojima, 79, yang berasal dari Utara Tokyo, beliau bukan saja seronok melakukan senaman itu, malah ia juga baik untuk kesihatan.

Sehingga hari ini, sebanyak 868 kes jangkitan Covid-19 disahkan dengan 29 kematian. - REUTERS.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X