X
Sabtu, 21 March 2020 | 8:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pekak sederhana atau teruk?

Gaya hidup moden mendedahkan seseorang kepada pencemaran bunyi secara berterusan, sama ada di tempat kerja atau ketika beriadah yang menjurus berlaku masalah pendengaran.

Secara umumnya, semua peringkat umur boleh dapat pekak, lantas penting menjalani saringan awal bagi membantu mengurangkan komplikasi lain, akibat masalah pendengaran terutamadalam kalangan kanak-kanak.

Sesetengah masyarakat menganggap masalah pendengaran perkara semula jadi berlaku seiring dengan peningkatan usia sehingga ramai yang tidak ambil peduli.

Ketua Perkhidmatan Otolaringologi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Siti Sabzah Mohd Hashim, berkata masalah pendengaran boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu, mempunyai masalah pendengaran sejak lahir atau selepas kelahiran pada usia masih kecil sehingga meningkat dewasa.

“Ia mungkin berpunca daripada genetik, demam panas, komplikasi ketika kelahiran, jangkitan penyakit tertentu, jangkitan telinga kronik, penyalahgunaan ubat, terdedah kepada bunyi bising berlebihan dan penuaan,” katanya.

Masalah ibu hamil dan bayi

"Bagi ibu mengandung, ada kalanya mereka terdedah dengan jangkitan seperti 'torches' yang boleh memberi kesan kepada bayi, selepas dilahirkan kerana jangkitan virus ini akan merosakkan sistem pendengaran bayi.

“Penggunaan ubatan tanpa kawalan semasa mengandung juga boleh mengundang kecacatan pendengaran dalam kandungan. "Jika bayi dilahirkan dikenal pasti mempunyai masalah Sindrom Down atau apa-apa penyakit mengikut garis panduan KKM, pakar perubatan akan terus menyaring bayi ini bagi memastikan sama ada pendengarannya normal atau tidak,” katanya.

Beliau ditemui selepas program World Hearing Day Peringkat Kebangsaan 2020 yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin di perkarangan Stadium Sultan Ke-IV, di sini, baru-baru ini.

Masalah pendengaran bayi dan kanak-kanak

Beliau berkata, ada hospital kerajaan mempunyai peralatan saringan yang optima dan menyaring semua bayi dilahirkan.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, setiap tahun, kira-kira 200,000 kelahiran baharu disambut.

Bagi setiap 1,000 kelahiran mungkin tiga hingga empat bayi menghidapi masalah pendengaran pada tahap sederhana hingga sangat teruk.

"Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius kerana berkemungkinan senario sedemikian memberikan petanda anak mengalami masalah sistem pendengaran sekali gus boleh mempengaruhi kehidupan sosial mereka dan pembelajaran terganggu.

Dr Siti Sabzah berkata, salah satu masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak atau remaja yang membimbangkan adalah disebabkan peningkatan penggunaan fon telinga dan kepala disebabkan gaya hidup masa kini (terlalu asyik dengan telefon pintar) atau kerap menonton pertunjukan konsert rock yang boleh menjejaskan fungsi pendengaran pada awal usia.

"Bagi golongan dewasa yang mempunyai hobi yang lebih menjurus kepada aktiviti bising seperti menembak, bermain atau mendengar juga boleh mempengaruhi masalah pendengaran, selain suasana tempat kerja yang terdedah dengan bunyi bising seperti di kilang perindustrian dan lapangan terbang yang mempunyai ruang terbuka.

Bagi seseorang individu, jika mereka mendengar melebihi 85 decibel selama lapan jam ke atas, besar kemungkinan mereka berisiko tinggi untuk mendapat masalah deria pendengaran.

"Tahap kebisingan (unit decibel) yang melampaui fisiologi pendengaran diistilahkan sebagai 'dangerous decibel' dan ibu bapa seharusnya berwaspada dengan fenomena ini," katanya.

Bagi individu yang ingin mengesahkan sama ada pendengaran sempurna atau sebaliknya, ujian pendengaran boleh dilakukan di hospital terdekat terutama apabila telinga berasa berdengung atau tidak selesa.

"Di Kementerian Kesihatan ada 44 hospital di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menjalankan ujian saringan pendengaran menggunakan alat berkomputer.

“Beberapa jam selepas lahir saja kita sudah boleh mengesan sama ada pendengaran bayi normal atau sebaliknya berserta tahap keterukan yang akan dilakukan oleh pegawai pemulihan perubatan audiologis.

"Bila anak kita disahkan mempunyai masalah pendengaran, sebenarnya banyak inisiatif yang ditawarkan dan boleh dibantu iaitu dengan pemasangan alat bantu dengar.

“Macam-macam jenis implant koklea yang terdapat dalam pelbagai jenis dengan harga serendah RM1, 500 sehingga puluhan ribu ringgit," katanya.

Masalah pendengaran warga emas

Dr Siti Sabzah berkata, warga emas yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi isolasi sosial dan lebih berrisiko menghidap penyakit nyanyuk dalam jangka waktu tertentu.

"Ramai warga emas juga boleh mengalami masalah pendengaran berasa terasing dan cenderung ke arah kemurungan. Pendengaran lebih baik tentu sekali bermaksud kualiti kehidupannya juga lebih baik."

Justeru, sama-samalah kita menjaga pendengaran ini dan berharap masyarakat lebih peka apakah faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu lebih cenderung mengalami masalah berkaitan pendengaran.

"Jangan biarkan kurang pendengaran membataskan kehidupan anda kerana 'Pendengaran Adalah Kehidupan' bersesuaian dengan tema Hari Pendengaran Sedunia 2020," katanya.Buat saringan pendengaran

Sementara itu, Dr Zaini berkata, bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penjagaan telinga dan pendengaran dalam kalangan masyarakat ianya dapat direalisasikan dengan mengukuhkan program saringan pendengaran secara menyeluruh.

"Pada sama, masyarakat juga perlu tahu di mana ada menawarakan perkhidmatan ujian saringan pendengaran samada di hospital kerajaan atau swasta dengan teknologi terkini.

"Selain itu, pengetahuan dan maklumat mengenai masalah pendengaran juga perlu diterapkan dalam masyarakat iaitu, bagaimana kita dapat mengesan serta menyaring pendengaran terutamanya kepada bayi yang baharu lahir.

"Pelaksanaan awal ini penting terutamanya untuk interversi kerana sekiranya masalah pendengaran ini berterusan ianya akan memberi kesan negatif dalam banyak perkara termasuk pembelajaran dan emosi," katanya.

INFO: Punca masalah pendengaran:
• Keturunan
• Jangkitan semasa mengandung, seperti Rubella
• Kelahiran Pra-matang
• Kurang berat badan semasa lahir
• Penyakit kuning
• Diabetes semasa mengandung
• Masalah genetik

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Peringkat umur akibat penyakit atau kecederaan:
• Jangkitan telinga
• Ubat-ubatan yang bahaya kepada telinga, seperti kemoterapi, aspirin, diuretik
• Jangkitan semasa kanak-kanak, seperti campak dan meningitis
• Kecederaan kepala yang teruk
• Pendedahan kepada bunyi bising
• Faktor umur

Tip penjagaan:
• Penjagaan telinga yang sihat
• Dapatkan immunisasi
• Elakkan ubat boleh menjejaskan pendengaran kecuali diberi oleh doktor
• Kurangkan pendedahan kepada bunyi kuat
• Elak gunakan alat perlindungan telinga

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X