Sabtu, 28 March 2020 | 10:48am

Pembunuh 'senyap'

AKTIF bersukan, tidak merokok dan diet seimbang contohnya tidak boleh lagi dianggap jaminan kehidupan yang sihat kerana banyak faktor luaran turut mempengaruhi kesihatan individu.

Meskipun semua amalan itu sebahagian daripada gaya hidup sihat, namun jika mengabaikan penjagaan kesihatan seperti membuat pemeriksaan berkala atau saringan kesihatan setiap tahun, risiko mendapat sesuatu penyakit tidak dapat dielakkan.

Sakit buah pinggang antara penyakit yang dikategorikan sebagai ‘pembunuh paling senyap’ dan tidak ramai yang menjangkakan boleh berdepan dengan situasi itu.

Malah, individu yang disahkan menghidap penyakit itu kebiasaannya akan berada pada tahap terakhir dan perlu menjalani hemodialsisi serta-merta.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), negara ini antara yang mempunyai pesakit paling ramai di dunia mengalami kegagalan akhir buah pinggang.

Separuh daripada daripada mereka sebenarnya mampu diselamatkan menerusi pemindahan buah pinggang.

Rawatan hemodialisis

Di negara ini saja, 99 peratus individu atau kira-kira 25,000 pesakit yang menunggu untuk pemindahan organ daripada penderma adalah pesakit buah pinggang.

Secara tidak langsung, angka pesakit buah pinggang adalah suatu perkara yang kronik dan memerlukan perhatian.

Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Serdang, Dr Nor Fadhlina Zakaria, berkata pemindahan organ buah pinggang adalah tindakan paling terbaik, iaitu pesakit tidak perlu melalui semua komplikasi akibat daripada penyakit berkenaan.

Katanya, sebelum pesakit mempunyai penderma, mereka perlu menjalani rawatan hemodialisis dan tidak semudah disangka kerana hanya yang melalui saja akan merasai keperitannya.

“Banyak risiko dihadapi pesakit buah pinggang, antaranya jika mempunyai masalah jantung yang tidak kuat, metabolisme badan berbeza, salur darah yang halus hingga mampu berdepan komplikasi seperti tangan terputus dan bermacam lagi,” katanya.

 Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Serdang, Dr Nor Fadhlina Zakaria. - NSTP/Rosela Ismail
Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Serdang, Dr Nor Fadhlina Zakaria. - NSTP/Rosela Ismail

Pemindahan organ

Beliau berkata, pesakit kronik dan tidak lawas mereka hanya dibenarkan minum air mengikut sukatan dibenarkan sebelum rawatan hemodialisis seterusnya dilakukan.

“Selain itu, rawatan hemodialisis memerlukan khidmat pakar yang mengendalikan bagi untuk mencari salur darah yang betul mengelak kejadian dinding salur darah pecah dan sebagainya.

“Hemodialisis ini hanya ‘jambatan’ kepada pesakit meneruskan rawatan, sehingga mereka mendapat penderma buah pinggang selain kesihatan yang stabil sebelum pemindahan boleh dilakukan,” katanya.

Menyentuh mengenai pemindahan organ, Dr Nor Fadhlina berkata, teknologi dan perubatan terkini tidak lagi menjadi penghalang kepada sesiapa saja menderma organ kepada penerimanya.

Katanya, sesiapa sahaja boleh menerima organ daripada penderma walaupun tidak mempunyai jenis darah yang sama.

Kebarangkalian proses penolakan organ itu amat jarang berlaku.

“Di negara maju lain, ia sudah diamalkan, namun di Malaysia ia belum dipraktikkan memandangkan banyak perkara dan polisi perlu dilakukan.

“Yang penting masyarakat perlu tahu dan sedar kebaikan serta keburukan pemindahan organ, kemudian mereka boleh melakukan untuk peringkat seterusnya,” katanya.

Stigma menebal

Beliau berkata, ramai masyarakat yang masih stigma terhadap pendermaan organ menyebabkan tidak ramai yang mahu melakukan.

Katanya, dalam Islam hukumnya menderma organ adalah harus menerusi fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1970.

“Mesej ini yang perlu disampaikan dan disebarkan kepada setiap orang,” katanya.

Bagi penderma organ, beliau berkata risiko mereka hanya satu peratus saja dan semua orang boleh hidup dengan hanya satu buah pinggang selagi mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan mendengar nasihat daripada doktor.

“Seorang penderma juga berada di bawah pemantauan pakar buah pinggang seumur hidup mereka,” katanya.

Info

Tanda dan gejala

* Ketidakselesaan atau rasa sakit ketika membuang air kecil

* Darah keluar bersama air kencing

* Kekerapan membuang air kecil pada waktu malam

* Sakit belakang

* Bengkak pada pergelangan kaki

* Kencing berbuih

Individu berisiko

* Pesakit dengan diabetes atau / dan tekanan darah tinggi

* Perokok

* Berat badan berlebihan

* Sejarah ahli keluarga

Organ yang boleh didermakan

* Jantung

* Paru-paru

* Hati

* Buah pinggang

Tisu yang boleh didermakan

* Mata

* Injap jantung

* Tulang

* Kulit

Berita Harian X