Sabtu, 9 Mei 2020 | 3:59pm
RAWATAN kesuburan adalah salah rawatan elektif yang tidak kritikal dan boleh dijalani selepas wabak COVID-1 (foto/gambar hiasan)
RAWATAN kesuburan adalah salah rawatan elektif yang tidak kritikal dan boleh dijalani selepas wabak COVID-1 (foto/gambar hiasan)

COVID-19: Tangguhkan dulu rawatan ketidaksuburan

Di kala penularan wabak COVID-19, ramai yang mempunyai penyakit bukan kronik dan kes bukan kecemasan, gelisah serta berbelah-bagi bagi mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan.

Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, (UPM), Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid, berkata bagi pesakit ketidaksuburan pasti tidak sabar untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.

Katanya, rawatan kesuburan adalah salah rawatan elektif yang tidak kritikal dan boleh dijalani selepas wabak COVID-19 berada pada tahap yang selamat dan terkawal.

Hampir semua pusat ketidaksuburan di Malaysia mengambil langkah menangguh rawatan ketidaksuburan buat sementara seperti disarankan oleh Pertubuhan Profesional Perubatan Reproduktif atau Kesuburan Dunia seperti ASRM dan lain-lain

"Ia sejajar dengan dasar kerajaan yang mengambil langkah bijak melaksanakan dasar primari prevensi bagi mengelakkan penularan, dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penerapan amalan kebersihan secara tegas.

"Bagi tujuan rawatan ketidaksuburan, disarankan menghentikan rawatan kesuburan baru seperti IUI (permanian beradas), IVF (persenyawaan in-vitro @ bayi tabung uji) dan pembekuan gamet/embrio.

"Pengecualian adalah bagi pesakit yang sedang dalam rawatan dan keperluan mendesak stimulasi dan pembekuan membabitkan penyakit kanser dan wanita yang kekurangan rizab ovari.

"Mereka disaran menundakan pemindahan embrio dan kes elektif dan prosedur diagnostik kesuburan," katanya.

Mereka disaran penjarakan sosial antara pesakit dan pakar dengan mengutamakan penggunaan telekomunikasi, selain mengurangkan kakitangan seperti embriologis dan andrologis pada satu-satu masa.

Dr Habibah berkata, bagi rawatan kesuburan, pesakit akan melalui pelbagai proses yang memerlukan mereka kerap hadir ke hospital atau pusat kesuburan untuk memantau perkembangan rawatan seperti saiz folikel, yang tidak mungkin berlaku semasa PKP.

Pastinya semasa PKP, kontak pesakit dan pengamal perubatan serta staf perubatan perlu dikurangkan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19-19.

"Malah, kesan jangkitan ini, pada ibu mengandung dan bersalin juga masih belum diketahui secara saintifik.

"Perkara ini perlu diperjelaskan pada setiap wanita yang ingin hamil dan sudah mengandung," katanya.

Sehubungan itu, wanita digalakkan menangguhkan pada masa sesuai dan selamat bagi membasmi penularan wabak itu.

Justeru, apa yang perlu dilakukan sekarang semasa PKP? Pesakit infertiliti boleh mengamalkan gaya hidup yang sihat di rumah terutama yang mengalami masalah kegemukan seperti pesakit Sindrom polisistik ovari (PCOS)

Katanya, ambil peluang mengurangkan berat badan dengan mengamal pemakanan sihat seperti di sarankan pakar pemakanan atau amalkan 'intermittent fasting'.

"Sempena Ramadan berpuasa sebulan ini dengan mengamalkan tatacara pemakanan yang sihat untuk mengurangkan berat badan.

"Latihan senaman amat baik sekiranya dapat dilakukan selama 30 minit setiap hari seperti senamrobik, zumba atau berlari atau joging di sekitar rumah.

"Dengan pengurangan berat badan lima hingga 10 peratus, ovulasi akan berlaku dengan sendiri tanpa ubatan dan bagi pesakit menggunakan ubatan, peluang ovulasi dan kehamilan adalah lebih tinggi," katanya.

Dr Habibah berkata, rawatan kesuburan yang tidak memerlukan prosedur seperti 'Time Sexual Intercourse' (TSI) boleh diteruskan.

Kebanyakan pesakit ini hanya memerlukan ubat induksi ovulasi secara oral iaitu Clomid atau Femara dan pesakit digalakkan melakukan hubungan seksual sekerap mungkin pada waktu subur iaitu kebiasaannya pada hari ke-12 hingga ke-16 dalam kitaran haid bulanan itu.

Katanya, pesakit infertiliti yang mendapatkan rawatan, ketidaksuburan disebabkan tidak kerap melakukan hubungan seksual kerana perkara tidak dielakkan.

"Bagi golongan ini, pasangan perlu melakukan hubungan seksual sekerap mungkin terutama pada waktu subur.

"Tidak dilupakan kesihatan mental dan emosi juga perlu dititikberatkan dalam perawatan kesuburan.

"Lebih-lebih lagi rawatan terpaksa ditunda ke satu masa yang belum pasti, mungkin mengambil masa berbulan-bulan lamanya," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan pesakit mungkin mengalami masalah kemurungan.

Pesakit perlu menangani masalah ini sebaik-baiknya dengan sentiasa berfikiran positif dan cuba bertenang dan kerap berkomunikasi dengan orang tersayang.

"Paling utama adalah dengan menguatkan hubungan dengan Allah, antaranya dengan bertaubat, berzikir dan membaca al-Quran," katanya

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X