Ahad, 13 March 2016 | 12:39pm

Keadaan ekonomi tak jejas projek Lebuhraya Pan Borneo - PM


NAJIB bersama Ahmad Zahid diiringi Adenan hadir pada Majlis Permulaan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Serian, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SERIAN: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan projek Lebuhraya Pan Borneo akan dilaksanakan mengikut jadual walaupun menghadapi cabaran tertentu, khususnya keadaan ekonomi semasa dengan harga minyak dan komoditi merudum.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha sebaik mungkin menjayakan pembinaan infrastruktur mega itu, menepati akujanji Barisan Nasional (BN) demi kepentingan terhadap kemajuan Sarawak dan Sabah bagi jangka panjang serta menyempurnakan impian dinanti-nantikan rakyat kedua-dua negeri.

"Projek ini juga memperlihatkan keupayaan kerajaan BN menepati janji kepada rakyat. Apa yang kita janji, kita berusaha sebaik mungkin menunaikannya, tidak seperti pembangkang," katanya ketika merasmikan kerja pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak: Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, di sini tadi.

Pembinaan laluan sepanjang 75 kilometer itu membabitkan kos RM1.46 bilion. Ia pakej ketiga projek lebuh raya berkenaan di Sarawak selepas Jajaran Simpang Bakun-Simpang Nyalau di Bintulu dan Jajaran Telok Melano-Sematan di Kuching.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof.


NAJIB bersama Ahmad Zahid, Adenan dan Fadillah menyanyikan lagu kebangsaan pada Majlis Permulaan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Serian, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Najib yang juga Pengerusi BN menyifatkan projek itu 'ejen perubahan' yang mampu mengubah landskap pembangunan dan ekonomi negeri, selaras visi dan misi kerajaan untuk membantu Sarawak mencapai status negeri maju.

Sementara itu, Adenan ketika berucap pada majlis sama, berkata Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak jelas memperlihatkan komitmen berterusan kepemimpinan Pusat, khususnya Najib dalam membawa kemajuan ke negeri ini yang pasti akan memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat.

"Dengan jarak menjangkau 1,000 kilometer, hampir semua kawasan dapat dihubungi dengan lebuh raya ini dari Tanjung Datu hingga Lawas, sekali gus menyumbang kepada pembangunan setempat di kawasan sepanjang laluannya.

"Ekonomi Sarawak dijangka terus kukuh dengan adanya lebuh raya ini, terutama dalam konteks perdagangan. Ia tentu memberi kesan cukup baik kepada rakyat untuk jangka panjang. Projek ini juga membuktikan kesungguhan kepemimpinan Najib mahu memastikan Sarawak tidak ketinggalan mengecapi nikmat kemajuan.

"Rakyat Sarawak amat menghargai usaha Perdana Menteri yang cukup mengambil berat keperluan dan kehendak kita. Bekas Perdana Menteri yang selama 22 tahun memimpin negara pun tidak mampu melaksanakannya," katanya.

Berita Harian X