Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:35AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

JPB 2017 sasar bantu 50,000 pelajar miskin

Oleh Noor Atiqah Sulaiman



ISMAIL Sabri Yaakob bersalam dan beramah mesra dengan wakil IPTA semasa majlis Makan Malam Retreat Khas JPB 2017 dan turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera di Hotel Le Meridien Putrajaya. -Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

PUTRAJAYA: Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) menyasarkan seramai 50,000 pelajar dari golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program jelajah itu memberi peluang pertama atau kedua kepada pelajar untuk mengubah nasib mereka.

Beliau, yang juga Menteri Mentor JPB, berkata melalui program berkenaan mereka menjelajah ke 56 kawasan Parlimen tumpuan termasuk Sabah dan Sarawak.

"Saya percaya untuk ubah nasib keluarga ke tahap yang lebih baik haruslah melalui pendidikan.

"Sebenarnya pelajar ini bukannya tidak pandai, tetapi mereka tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

"Atas sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengilhamkan program ini supaya dapat membantu pelajar kurang berkemampuan.

"Ia bukan sahaja untuk bantu diri sendiri dan keluarga, tapi ia secara tidak langsung bantu bangsa kita mengubah hala tuju menjadi lebih cemerlang," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Permukiman JPB, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Abu Bakar.

Ismail berkata, JPB akan mendekati sekurang-kurangnya 200,000 pelajar kurang berkemampuan sebelum disenarai pendek untuk memasuki universiti terpilih dalam bidang masing-masing.