Rabu, 3 Jun 2015 | 12:32pm

Erra Fazira kini bertudung penuh


ERRA mula bertudung penuh sejak semalam mengambil keberkatan malam nisfu Syaaban. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Akhirnya Erra Fazira menamatkan segala teka-teki mengenai ura-ura dirinya yang akan bertudung sebelum Ramadan.

Erra mula bertudung penuh sejak semalam mengambil keberkatan malam nisfu Syaaban.

Malah, Datuk Siti Nurhaliza di laman Instagram turut tumpang gembira dengan keputusan Erra untuk bertudung.

"Penghijrahan ini sudah lama terdetik dalam hati. Cuma kadang-kadang ia jadi terbantut dek urusan dan perjanjian kerja yang sudah dimeterai.

"Pada suatu tahap saya beritahu kepada diri sendiri adakah hasrat dan niat ini harus ditunda dari hari ke sehari. Kalau nak ditunggu sampai seru, mungkin ia akan terus tergantung.

"Seru itu merujuk kepada hati kita jadi kuat. Jadi saya tidak mahu lagi mencipta alasan dan mewujudkan halangan untuk membuat keputusan ini. Ikutkan saya sudah mahu bertudung sejak tahun lalu. Saya minta dibulatkan hati meminta ada hidayah untuk semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah ia kini jadi nyata," kata Erra kepada BH Online.

Erra mengambil keberkatan malam nisfu Syaaban sebagai membuka lembaran baharu dalam hidup dan menutup kisah lama.

"Dalam hati berkata, inilah masanya Fazira (merujuk kepada nama penuhnya Fazira Wan Chek) dan tak perlu bertangguh-tangguh lagi memberi alasan itu dan ini.

"Saya ini jenis yang mementingkan kesempurnaan dan sebenarnya sudah lama mengumpul tudung sebagai persediaan ke arah itu. Jadi malam nisfu Syaaban itu saya sangkut tudung di dalam bilik dan nekad dalam diri untuk mengenakannya keesokan hari.

"Malam itu juga kebetulan giliran saya bersama Engku Aleesya. Saya katakan kepadanya diri ini agak gementar untuk semua ini. Saya bertanya kepadanya kalau diri ini bertudung, apa komennya. Dia jawab, dia suka. Keesokan semasa menghantarnya ke sekolah, dia kembali mengajukan soalan adakah saya gementar selepas bertudung? Saya jadi terpinga-pinga.

"Rupa-rupanya dia ingat lagi soalan saya pada malam sebelumnya mengenai perasaan gementar yang bertandang. Dia cakap mummy nampak cantik bertudung. Saya sangat tersentuh ketika itu," kata hos Primadona di Astro Prima itu.

Di akhir perbualan, Erra memberitahu, dia berharap keputusan bertudung ini akan terus membuat dirinya sentiasa istiqamah dalam diri.

"Bertudung ini bukan setakat hijrah dari luar, tapi ia juga membabitkan soal dalaman. Saya perlahan-lahan ke arah itu. Doakan saya," katanya.

Berita Harian X