Rabu, 3 Januari 2018 | 11:54pm
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Khairull Azry Bidin
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Khairull Azry Bidin

Polis cari wanita kes tipu pakej pelancongan

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan pakej pelancongan menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit selepas beberapa mangsa tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata laporan dibuat oleh mangsa termasuk artis dan penerbit drama di beberapa balai polis hari ini.

Katanya, turut tampil membuat laporan, agensi pelancongan yang namanya digunakan suspek ketika menipu mangsa.

"Setakat ini kita sudah terima enam laporan berkaitan kes penipuan pakej pelancongan, ada dua laporan dibuat di sini dan masing-masing satu di Dang Wangi, Gombak, Serdang dan di Seremban.

"Berdasarkan laporan yang diterima, suspek akan mempromosi pakej pelancongan ke Korea Selatan dengan tawaran harga yang menarik dan mendakwa dirinya mewakili sebuah agensi pelancongan.

"Apabila mangsa meminta tiket penerbangan, suspek akan memberi alasan kelewatan pembayaran ke pejabat ejen pelancongan di Seoul dan meminta mangsa memasukkan lagi sejumlah wang ke dalam akaun persendirian miliknya sebelum menyediakan tiket penerbangan.

Apabila tiba di Seoul, mangsa mendapati suspek tidak pernah membuat sebarang urusan tempahan hotel dan pakej pelancongan untuk mereka di Korea," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zani berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati suspek tersenarai sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) berkaitan tujuh kes penipuan pada tahun lalu.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

DEN Wahab (kiri) bersama Aziz M Osman pada sidang media berhubung laporan polis mengenai kes penipuan ejen pelancongan di Balai Polis Mutiara Damansara. - Foto Halim Salleh
DEN Wahab (kiri) bersama Aziz M Osman pada sidang media berhubung laporan polis mengenai kes penipuan ejen pelancongan di Balai Polis Mutiara Damansara. - Foto Halim Salleh

Terdahulu, BH Online melaporkan pelakon, Den Wahab dan pengarah, Aziz M Osman tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan suspek di Balai Polis Mutiara Damansara, di sini, petang tadi.

Mereka mendakwa kerugian kira-kira RM90,000 selepas ditipu seorang wanita yang mengaku mempunyai agensi pelancongan dan menawarkan pakej melawat Korea Selatan selama lima hari empat malam.

Namun, pada hari ketiga rombongan berada di Korea Selatan, Den dan Aziz mendakwa mereka diminta mengosongkan bilik penginapan selepas agensi pelancongan berkenaan tidak menerima bayaran daripada individu terbabit.

Berita Harian X