Rabu, 2 Oktober 2019 | 12:07pm
Sepasang suami isteri direman di Mahkamah Majistret Klang selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka pada Ahad lalu. - Foto Faiz Anuar

Dera anak asuhan hingga mati, pasangan direman 7 hari

SHAH ALAM: Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian dera sehingga menyebabkan seorang daripada anak asuhan mereka meninggal dunia Ahad lalu, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya giat mengesan bapa pasangan kembar yang didera suspek.

Katanya, ibu kanak-kanak kembar itu datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan petang semalam dengan membawa pasangan kembar mangsa.

“Siasatan mendapati suspek lelaki berusia 36 tahun itu adalah seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Terdahulu, perintah reman terhadap pasangan suami isteri yang disyaki turut mendera anak kandung suspek wanita itu iaitu kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun, dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Azzam Zainal Abidin bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek lelaki dilihat memakai baju T putih dan berseluar sukan hitam, manakala suspek wanita berpakaian lokap warna jingga.

Pasangan suami isteri itu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka, Ahad lalu.

Mereka turut disyaki mendera dua anak suspek wanita berusia lima dan lapan tahun dan seorang lagi anak asuhan berusia empat tahun yang juga kembar mangsa yang meninggal dunia.

Berita Harian X