Khamis, 3 Ogos 2017 | 3:24pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Saddam Yusoff

Uber, GrabCar akan diwajibkan ambil insurans penumpang: Nancy

SERDANG : Pemandu perkhidmatan kongsi kereta Uber dan Grabcar akan diwajibkan mengambil insurans untuk penumpang sebaik sahaja undang-undang perkhidmatan e-hailing dikuatkuasakan dalam tempoh setahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia antara syarat lain bagi perkhidmatan itu seperti syarat minimum usia kenderaan, perlu menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan ujian pemeriksaan kesihatan pemandu.

"Kerajaan sedang memperhalusi syarat yang akan dikenakan kepada pemandu Uber dan Grabcar apabila undang-undang dilaksanakan nanti boleh dipatuhi.

"Setakat ini, sudah banyak syarat yang dibincangkan bersama dipersetujui pemandu Uber dan Grabcar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)," katanya pada sidang media.

Terdahulu, Nancy berucap pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama (LOI) antara agensi di bawah Agensi Inovasi Malaysia, Steinbeis Malaysia Foundation dan Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut, Nancy berkata pihaknya prihatin dengan masalah dan cabaran dihadapi pemandu sebelum perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi secara sah.

Katanya, pihaknya mengadakan pertemuan untuk memperhalusi syarat itu dengan SPAD dan pemandu Uber dan GrabCar, semalam.

"Ada pemandu minta supaya kenderaan berusia lebih tujuh tahun menjalani pemeriksaan PUSPAKOM dan pembiayaan bayaran pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

"Kerajaan sedang mempertimbangkan keputusan untuk perkara itu. Apa yang penting, keselamatan pemandu dan penumpang menjadi keutamaan," katanya.

27 Julai lalu, Rang undang-undang (RUU) membabitkan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar diluluskan di Dewan Rakyat.

Ia membabitkan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan secara berasingan.

Menerusi kelulusan dua rang undang-undang itu, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengawal selia perkhidmatan e-hailing secara sah.

Berita Harian X