Khamis, 31 Ogos 2017 | 6:44pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada majlis pelancaran Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur ketiga (KLIAF2017) di NU Sentral, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

PM lancar Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur ketiga (KLIAF2017) di NU Sentral di sini, hari ini.

Festival yang berlangsung sepanjang bulan September ini akan menampilkan lebih 50 persembahan daripada penggiat seni tempatan, serantau dan antarabangsa yang akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Kehadiran Perdana Menteri dan tetamu kehormat disambut dengan persembahan kumpulan Deafbeat yang meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya, tahun ini.

Majlis perasmian turut diceriakan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Main Zapin oleh kumpulan tarian dari Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA).

Pengarah Festival, Datin Sunita Rajakumar, berkata, program itu bertujuan memupuk kepelbagaian dalam meraikan seni dalam kalangan masyarakat tempatan dan luar negara.

"Menjadi harapan saya bahawa program yang disusun tidak hanya membawa kepada hiburan tetapi memberi inspirasi dan mengeratkan hubungan antara mereka yang hadir," katanya.

Konsert Ulang Tahun ke-50 Panggung Anniversari adalah satu persembahan muzik yang menjadi acara kemuncak festival kali ini dan akan diadakan secara terbuka di Taman Botani Perdana.

Konsert akan menampilkan artis tempatan dan negara serantau yang akan diiringi instrumen penuh oleh Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

PERSEMBAHAN dari penari Argentina pada majlis pelancaran Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur ketiga (KLIAF2017) di NU Sentral, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Berita Harian X