Khamis, 2 November 2017 | 3:56pm
KUTIPAN tol batu 3 dan tol Sungai Rasau akan ditutup menjelangan tahun baru 2018 selepas Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan kutipan tol Batu 3 dan tol Sungai Rasau pada Pembentangan Bajet 2018. - Foto Roslin Mat Tahir.

RM2.04 bilion pampasan mansuh 2 tol di Selangor

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membayar pampasan sehingga RM2.04 bilion kepada Plus Malaysia Berhad (PLUS) susulan pemansuhan kutipan tol di Sungai Rasau dan Batu Tiga, Selangor, mulai 1 Januari tahun depan.

Ia berdasarkan pampasan sebanyak RM102 juta akan dibayar oleh kerajaan kepada PLUS setahun dan ia dibayar ke atas baki 20 tahun kontrak perjanjian yang sepatutnya berakhir pada 2038.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata keputusan memansuhkan kutipan tol di lokasi terbabit dibuat selepas mengambil kira kemampuan kerajaan di samping menilai liabiliti yang terpaksa ditanggung PLUS.

"Dalam pemansuhan tol, kena lihat kemampuan kerajaan. Kita juga melihat kepada PLUS yang ada bon RM30 bilion untuk dibayar. Mereka sudah menstruktur semula kadar tol sehingga tahun 2038.

"Banyak (kadar) tol yang sepatutnya naik, tiga tahun mereka tangguhkan. Saya difahamkan sejak tahun 2005 sehingga 2016 mereka tangguhkan kenaikan kadar tol.

"Namun, kita tidak boleh mansuh kutipan tol tidak tentu pasal. Tetapi PLUS ada liabiliti RM30 bilion. Kalau kerajaan hendak buat (mansuh) semua, ia akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan.

"Maka, mana yang kita mampu ambil sikit (bayar pampasan), kita berikan pampasan," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Pada masa ini, pengguna kereta dikenakan tol RM1.10 di Batu Tiga, manakala RM1.00 di Sungai Rasau menuju Klang.

Johari turut berkata, kerajaan juga akan membayar pampasan sebanyak RM8 juta di tol Bukit Kayu Hitam, Kedah selain penyelesaian pertindihan bayaran di Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.

"Bagi EDL, kerajaan sudah kenakan caj jalan raya, itu sudah bertindan, kita akan 'offset' dengan caj jalan raya," katanya.

Pengguna EDL ketika ini dikenakan caj jalan raya sebanyak RM20. Dalam perkembangan lain, Johari berkata, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sehingga RM1.3 bilion daripada cukai langsung pada tahun hadapan susulan kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan.

"Sebenarnya kita beri balik wang kepada rakyat untuk berbelanja, sekali gus membantu menggerakkan lagi ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, langkah itu tidak akan menjejaskan ekonomi negara bagi tahun 2018 kerana badan penarafan antarabangsa dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi negara mampu berkembang secara positif.

"Dalam ekonomi terbuka, sekiranya ekonomi global bagus, ia bagus juga untuk kita kerana boleh kutip lebih banyak cukai," katanya.

Dalam isu rumah mampu milik, Johari berkata Perbadanan PR1MA Malaysia akan membuat kajian menentukan lokasi dan nilai tanah bagi membina 210,000 rumah mampu milik seperti disasarkan dalam Bajet 2018.

Johari turut menyeru pakar dan profesional percukaian untuk memainkan peranan secara lebih efektif bagi membantu negara mendepani cabaran percukaian semasa dan masa hadapan.

Beliau berkata, firma percukaian disaran memanfaatkan teknologi baharu seperti 'blockchain' yang dapat memudahkan penyimpanan data, laporan dan pematuhan.

5582 dibaca
Berita Harian X