Sabtu, 18 November 2017 | 6:21pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Packej Kerja 6 Membina Jalan Dari Putatan ke Inanam, di Putatan. - Foto Izhari Ariffin.

RM2.6b untuk 6 pakej Pan Borneo Sabah - PM

PUTATAN: Sebanyak RM2.6 bilion sudah diluluskan bagi melaksanakan enam pakej projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, termasuk jajaran pakej Putatan ke Inanam, yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, tender bagi 12 pakej sedang dalam proses penilaian, termasuk dua menunggu kelulusan Kementerian Kewangan, manakala tender baki 17 pakej lagi dijangka diselesaikan tahun depan.

"Setakat ini, lima pakej bernilai RM1.7 bilion diluluskan dan hari ini satu lagi pakej diluluskan iaitu jajaran Putatan ke Inanam bernilai RM900 juta, bererti RM2.6 bilion sudah lulus bagi Sabah.

"Secara keseluruhan, RM12.86 bilion diperuntukkan untuk membina Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dalam masa lima tahun, bererti RM2 bilion dibelanjakan setahun," katanya ketika melancarkan Pakej 6 projek lebuh raya berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perdana Menteri berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo penting kerana ia bakal membawa kesan besar kepada Sabah dan Sarawak berbanding projek lain yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, komitmen kerajaan melaksanakan projek itu juga sejajar dengan konsep pembangunan bersifat inklusif yang diterapkan bagi memastikan tiada rakyat tertinggal daripada pembangunan.

"Kita boleh buat projek seperti jalan, jambatan, membina dewan dan lain-lain tetapi ia tidak berlaku perubahan besar kepada Sabah.

"Sebab itulah dalam banyak projek, tiada yang lebih besar impak berbanding Pan Borneo," katanya.

Najib berkata, kerajaan menumpukan projek infrarakyat bagi memastikan wujud perhubungan yang menyeluruh supaya pergerakan manusia dan barangan lebih mudah dan cepat.

Pakej jajaran dari Putatan ke Inanam sepanjang 19.6 kilometer adalah sebahagian jajaran merentasi bandar raya Kota Kinabalu atau dikenali sebagai Jalan Pesisir Luar Kota Kinabalu.

Jajaran itu membabitkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, selain pembinaan tiga jambatan baharu, iaitu Jambatan Sungai Moyog 1, 2 dan 3, dua jejantas pejalan kaki, 10 persimpangan U dan empat perhentian bas.

Jalan itu bakal menyediakan akses perhubungan darat yang selesa dan cekap kepada kira-kira 700,000 penduduk sekitar ibu negeri, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembukaan kawasan baharu.

INFO

Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 setakat November 2017

* RM12.86 bilion kos keseluruhan

* 706 kilometer panjang

* 35 pakej projek keseluruhan

* 5 projek dalam pelaksanaan

* 1 projek baru diserahkan kepada kontraktor

* 12 projek dalam penilaian

* 17 projek diselesaikan sehingga suku pertama 2018

Berita Harian X