Rabu, 20 Disember 2017 | 8:04pm
PEMBAYARAN levi pekerja asing akan mula dikuatkuasakan 1 Januari depan. - Foto hiasan

Perlu bayar levi pekerja asing mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR: Pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang ditangguhkan pelaksanaannya awal tahun ini akan mula dikuatkuasakan 1 Januari depan.

Keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan maklum balas daripada 16 pertubuhan majikan termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) selain mengambil kira kos menjalankan perniagaan, tempoh penyesuaian industri dan pengurusan sumber manusia syarikat.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata, menerusi pelaksanaan dasar itu, majikan di negara ini mesti menanggung pembayaran levi bagi pekerja asing baharu dan pekerja asing yang diperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Ketetapan dasar ini turut terpakai kepada majikan yang sudah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum dasar ini dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun ini dan akan tamat tempoh pada 2018.

"Ketetapan pembayaran levi oleh majikan adalah termaktub dalam dokumen 'Employers Undertaking' (aku janji majikan) yang perlu ditandatangani majikan sebelum dibenarkan untuk menggaji pekerja asing.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang sudah ditetapkan berhubung pembayaran levi pekerja asing," menurut kenyataan itu.

Januari lalu, Kabinet bersetuju menangguhkan hingga tahun depan pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Penangguhan itu dibuat selepas mendengar maklum balas dan permintaan pihak berkepentingan, terutama majikan selepas pelaksanaan EMC diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 31 Disember 2016.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menggariskan inisiatif bagi menambahbaik sistem pengurusan pekerja asing di Malaysia.

Antara inisiatif itu adalah mengehadkan penggajian pekerja asing pada kadar 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2020 dan mengawal selia kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah melalui penambahbaikan sistem levi pekerja asing.

Dalam usaha mencapai inisiatif itu, Jemaah Menteri pada 25 Mac 2016 bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung oleh majikan berkuatkuasa 1 Januari 2017 sebelum ditangguhkan pelaksanaannya pada Januari depan.

INFO
Kadar levi pekerja asing mengikut sektor

** Semenanjung

* perkilangan - RM1,850

* pembinaan - RM1,850

* perkhidmatan - RM1,850

* perladangan - RM640

* pertanian - RM640

* pembantu rumah:

a) pertama - RM410

b) kedua - RM590

c) ketiga - RM590

d) keempat dan berikutnya - RM590

** Sabah dan Sarawak

* perkilangan - RM1,010

* pembinaan - RM1,010

* perkhidmatan - RM1,490

* perladangan - RM590

* pertanian - RM410

* pembantu rumah:

a) pertama - RM410

b) kedua - RM590

c) ketiga - RM590

d) keempat dan berikutnya - RM590

** kadar levi sub sektor rumah kebajikan di Sabah dan Sarawak - RM650

** kadar levi sub sektor pulau peranginan di Sabah dan Sarawak - RM1,010

Berita Harian X