Rabu, 3 Januari 2018 | 11:53pm
PENDAKWAH antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto fail NSTP/Rozainah Zakaria
PENDAKWAH antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto fail NSTP/Rozainah Zakaria

Keputusan isu Dr Zakir Naik 13 Februari depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Februari depan, untuk penjelasan dan keputusan permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan empat lain, bagi membatalkan saman pemula difailkan pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waytha Moorthy bersama-sama 18 individu lain.

Saman pemula itu adalah bagi menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya, selepas mendengar hujahan peguam, R Kengadharan dan S. Karthigesan, yang mewakili Waytha Moorthy dan 18 yang lain selaku plaintif.

Turut berhujah dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan, mewakili Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia; Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Peguam Adnan Seman bertindak bagi pihak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang merupakan pencelah dalam kes saman tersebut.

Ketika ditemui pemberita, Kengadharan berkata, beliau berhujah bahawa kesemua plaintif mempunyai locus standi atau kedudukan untuk memfailkan tindakan saman itu kerana isu berhubung Dr Zakir melibatkan kepentingan awam.

"Dr Zakir perlu meninggalkan negara ini kerana beliau telah mengancam keselamatan negara," katanya.

Shamsul berkata, beliau pula berhujah bahawa tindakan saman yang difailkan kesemua plaintif menyalahgunakan proses mahkamah kerana mereka sepatutnya memfailkan permohonan semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

"Plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman pemula atas alasan plaintif gagal membuktikan bagaimana mereka telah terjejas oleh keputusan defendan," katanya.

Beliau berkata, tindakan saman terbabit adalah remeh kerana pendakwah bebas tersebut tidak dijadikan pihak dalam prosiding kes itu.

Adnan pula berkata, beliau berhujah bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang memberikan permit pemastautin tetap kepada Dr Zakir tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, pendakwah bebas itu perlu dijadikan pihak dalam prosiding kes untuk menjawab afidavit sokongan difailkan oleh pihak plaintif.

Dalam saman difailkan pada 1 Mac tahun lalu, Waytha Moorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.

Mereka turut mendakwa Dr Zakir telah menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam. -- BERNAMA

Berita Harian X