Selasa, 31 Julai 2018 | 11:17am

Sultan, Raja Muda Selangor beri penghormatan Hari Pahlawan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi penghormatan serta meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negeri Selangor sempena sambutan Hari Pahlawan, hari ini.

Turut berkenan hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda dan Raja Muda tiba jam 8.20 pagi dan disambut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta tetamu kehormat lain.

Acara dimulakan dengan lagu Negeri Selangor, seterusnya baginda menerima Hormat Diraja serta memeriksa barisan kawalan kehormat utama daripada pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudiannya diiringi Menteri Besar berangkat untuk istiadat meletak kalungan bunga di tugu peringatan.

Acara diteruskan dengan tiupan 'Paluan Akhir' yang lebih dikenali sebagai 'Last Post' dan hadirin juga diperdengarkan dengan deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawanku' oleh Asisten Komisioner Pathu Rahman Esa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Leftenan Siti Norashikin Yusof dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat kalungan bunga dimulakan oleh Sultan Selangor diikuti Tengku Amir Shah, seterusnya, Amirudin; Panglima 11 Briged, Briged Jeneral Dr Mohd Radzi Abdul Hamid; Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor;Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Selangor, Mohd Din Husnin dan Pengerusi Bekas Polis Malaysia Selangor, Datuk Rashid Asari.

Acara kemudiannnya diteruskan dengan tiupan 'Paluan Fajar' yang lebih dikenali 'Rouse'.

Ketika tiupan 'Paluan Fajar', Jalur Gemilang dikibarkan sebagai tanda memberi semangat kepada tentera dan polis yang masih hidup untuk terus berjuang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Turut menyertai, Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kadet Angkatan Pertahanan Awam dari Sekolah Agama Menengah Bestari; Kadet Remaja Sekolah (Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah); Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Laut) (SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah); Pergerakan Puteri Islam Malaysia serta Kor Kadet Polis (SMK Seksyen 18).

Baginda kemudiannya berangkat untuk membalas Hormat Diraja kawalan kehormatan utama seterusnya menandatangani buku pelawat.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Perkarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Perkarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Perkarangan Tugu Peringatan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X