Ahad, 19 Ogos 2018 | 11:20am
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

NIOSH perkenal 'SHO for IPT'

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperkenalkan inisiatif khusus untuk pekerja yang menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Inisiatif dikenali sebagai program Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau ‘SHO for IPT’ itu memberi kelebihan kepada pelajar TVET untuk turut memperoleh sijil profesional kompetensi ketika pengajian IPT.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata program itu mampu menjimatkan masa pelajar TVET kerana berpeluang memperoleh sijil kompetensi keselamatan dan kesihatan ketika belajar di IPT.

“Program ‘SHO for IPT’akan dikendalikan 100 peratus oleh NIOSH di premis IPT bagi meminimumkan kos serta mengekalkan mutu kursus latihan.

“NIOSH turut menganjurkan bengkel penyediaan peperiksaan dan empat kertas peperiksaan lengkap bagi program itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, inisiatif terbaru ini membantu meningkatkan jumlah pekerja yang mempunyai kemahiran dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) untuk bertugas di tempat kerja.

Beliau berkata, program di peringkat IPT ini juga bakal memberi faedah kepada majikan kerana pekerja muda turut mempunyai pengetahuan dan sijil KKP.

“Ia sebahagian usaha NIOSH untuk memperkasakan pelajar yang bakal menjadi pekerja di masa hadapan, di samping membantu mengurangkan kemalangan di tempat kerja.

“Pihak IPT yang berminat untuk melaksanakan program ini boleh menghubungi NIOSH untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Berita Harian X