Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:15pm
BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. - NSTP/Abdullah Yusof

Hukuman mati mandatori perlu kekal - Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Hukuman mati mandatori tidak perlu dimansuhkan kerana ia satu hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah yang melakukan jenayah berat dan serius, kata Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, sebelum ini hukuman mati mandatori tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh mahkamah sebaliknya mahkamah meringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

“Hukuman mati mandatori ini perlu dilaksanakan bagi kes yang serius seperti kes bunuh, pengedaran dadah serta kes membabitkan khianat dan sabotaj terhadap negara yang jelas boleh merosakkan ketenteraman awam dan masyarakat.

“Bagi saya ia patut dikekalkan...proses siasatan, risikan maklumat dan pendakwaan perlu diperkemas dan dilakukan dengan teliti supaya tidak wujud penganiayaan itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Musa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang dilaporkan berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan.

Susulan pengumuman itu, beliau berkata, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Penangguhan hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada lebih 1,200 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata pihaknya akan akur terhadap sebarang percaturan Kabinet, termasuk pertimbangan sebulat suara untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori.

Beliau menyifatkan, langkah penghapusan bersandarkan prinsip kemanusiaan itu sejajar dasar kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan bahawa sudah tiba masanya hukuman berat berkenaan digantikan dengan kaedah lain.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung cadangan berkenaan selain perlu memperhalusi cadangan pemansuhan hukuman itu dari pelbagai sudut.

“Kalau kita mengambil kira hak asasi manusia, keputusan itu juga perlu melihat dari sudut mangsa dan waris mangsa berkenaan bukan semata-mata penjenayah.

“Kita juga melihat pelaksanaan setiap hukuman itu sebagai bentuk pengajaran dan bukan menzalimi mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, sekiranya pemansuhan itu sebagai langkah penjimatan, beliau berpendapat pelaksanaan hukuman penjara seumur hidup lebih tinggi bagi seorang penjenayah.

“Kos penjara bagi seorang penjenayah ialah RM35 sehari dan jika dia dipenjarakan sehingga 20 tahun, jelas kos itu sangat tinggi.

“Justeru, kerajaan perlu dedahkan kepada rakyat pengiraan kos bagi kedua-dua hukuman itu supaya dinilai dengan telus,” katanya.

Katanya, bagi negara maju yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan penjara seumur hidup, kos penjara mampu ditanggung pembayar cukai negara berkenaan.

“Bukan semua negeri di Amerika Syarikat memansuhkan hukuman mati, malah negara jiran iaitu Singapura masih melaksanakannya.

“Kalau hukuman mati ini dilihat kejam dan menzalimi penjenayah, mungkin kerajaan boleh menggantikannya dengan suntikan maut.

“Kita gusar dek kerana terlalu terikut-ikut negara maju, kematangan kita dalam berhujah mengenai bentuk hukuman ini terbatas dan sangat terhad.

“Bahkan, negara maju yang tidak memansuhkan hukuman ini juga masih lagi maju,” katanya.

Berita Harian X