Selasa, 18 Disember 2018 | 1:47pm

Kronologi kes kematian Muhammad Adib

BERIKUT adalah kronologi kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim:

26 November 2018

- pergaduhan membabitkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi.

- 18 kenderaan terbakar dan 700 anggota keselamatan digerakkan bagi mengawal keadaan.

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun umum polis tahan 17 lelaki dan adakan kawalan 24 jam, orang ramai yang berkumpul di sekitar kuil diarah bersurai.


INSIDEN perbalahan di kuil Sri Maha Mariamman. - Foto Saifullizan Tamadi

27 November 2018

- anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib, 24, diserang dan pukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar.

- Muhammad Adib dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, pada keesokan malamnya.

- Ketua Polis Selangor beri jaminan keadaan terkawal.

- Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy minta semua masyarakat India bertenang.

- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tegaskan insiden berunsur jenayah bukan perkauman atau agama.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara. - Foto BERNAMA

28 November 2018

- Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan jalan raya.

- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian.

29 November 2018

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tegaskan dakwaan pihak kuil tidak benar.

4 Disember 2018

-Selepas seminggu dirawat, Muhammad Adib beri tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur.

5 Disember 2018

- Muhammad Adib mendapat sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru.

- Jantung Muhammad Adib juga mampu berfungsi dengan sendiri tanpa sokongan mesin bantuan.

7 Disember 2018

- Muhammad Adib tunjuk perkembangan positif walaupun masih kritikal dan stabil selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung.

8 Disember 2018

- Muhammad Adib masih bergantung beberapa mesin sokongan untuk memastikan organ dalamannya dapat dipulihkan pada tahap optima.

10 Disember 2018

- Muhammad Adib memberikan respons dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

15 Disember 2018

- Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira jam 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

16 Disember 2018

- kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dan kritikal. Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan selepas penilaian menyeluruh, paru-parunya menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

17 Disember 2018

- Muhammad Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam.


JENAZAH Muhammad Adib dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X