Isnin, 25 March 2019 | 5:56pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-212 Tahun di Dataran Kawad PULAPOL, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

SOP khas kendali tahanan autisme

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengendalikan kes tahanan membabitkan individu autisme.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata inisiatif itu diambil selepas pihaknya menerima pelbagai reaksi ketika mengendalikan kes membabitkan seorang remaja autisme di Subang Jaya, Selangor pada September tahun lalu.

“Untuk mengatasi masalah sedemikian dan (supaya) tidak berulang, saya mengarahkan satu jawatankuasa ditubuhkan.... kes membabitkan kanak-kanak autisme pada masa akan datang, SOP mesti dipatuhi.

“Pusat autisme juga akan ditubuhkan di PULAPOL (Pusat Latihan Polis) ini dan satu lagi pusat akan dibangunkan di Maktab PDRM Cheras,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 di PULAPOL di sini, hari ini.

Garis Panduan Autisme itu yang dirangka jawatankuasa khas diketuai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, turut dilancarkan.

Pada September lalu, pelbagai pihak memberi pelbagai reaksi berhubung penahanan seorang remaja autisme yang didakwa meraba seorang wanita di sebuah restoran di Subang Jaya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan turut mendapatkan nasihat pakar dari universiti tempatan berkaitan dua pusat autisme yang akan dibangunkan itu.

“Kita juga ambil perhatian terhadap kira-kira 484 anak warga PDRM yang mengalami autisme di seluruh negara,” katanya.

Mengulas kritikan terhadap pegawai penyiasat yang mengendalikan kes kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, Mohamad Fuzi berkata pegawai yang ditugaskan sudah melaksanakan apa yang perlu dilakukan.

“Pegawai berkenaan melaksanakan apa yang perlu dilakukannya dalam proses siasatan kes itu. Saya tidak mahu komen adakah ada kelemahan pihak polis. Saya tidak menafikan atau bersetuju dengan kritikan yang dibuat, saya tidak mahu komen lanjut,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, kematian Ivana yang terjatuh dari unit Kondominium CapSquare Residences, dua tahun lalu terjawab selepas Mahkamah Koroner mengklasifikasikan sebagai kematian disebabkan oleh nahas.

Koroner Mahyon Talib ketika membaca keputusan, berkata tidak wujud sebarang perbuatan jenayah, malah tiada individu yang terbabit dalam kes itu.

Berita Harian X