Selasa, 4 Jun 2019 | 9:16pm
WILLIAM Leong Jee Keen

Pelantikan KP SPRM tidak dirujuk jawatankuasa Parlimen

KUALA LUMPUR: Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu didakwa tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Pengerusi jawatankuasa itu, William Leong Jee Keen, berkata lantikan itu juga akan menjejaskan kepercayaan orang awam dan menimbulkan pelbagai persepsi kepada SPRM sebagai agensi bebas.

"Pakatan Harapan (PH) dalam mementingkan kepentingan awam dan kebebasan SPRM, menyebut mengenai janji menerusi manifestonya bahawa SPRM perlu merujuk kepada Parlimen.

"Tanpa merujuk kepada kemampuan peribadi, integriti dan perwatakannya, pelantikan Latheefa yang juga ahli PKR, satu parti dalam kerajaan PH akan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap SPRM.

"Persepsi itu juga akan sentiasa ada walaupun beliau (Latheefa) sudah meletakkan jawatan sebagai ahli PKR," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu menimbulkan pelbagai persoalan lain termasuk sama ada ia dibuat menerusi persetujuan ahli jawatankuasa itu.

Katanya, inti pati manifesto PH turut menyebut mengenai tiada lantikan politik dalam jawatan perkhidmatan awam.

“Bagaimanapun, Latheefa sudah menjelaskan beliau sudah meletakkan jawatan sebagai ahli PKR.

“Saya percaya beliau akan menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhajaya SPRM baharu dengan baik.

“Saya juga gembira pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dihadkan selama dua penggal dan berharap had itu diseragamkan di semua institusi awam terutama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) (ketika ini dua penggal), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (tiada had, sehingga pencen) dan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada masa depan (dicadangkan dua penggal)," katanya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan menyifatkan perlantikan Latheefa Koya amat mengejutkan.

Katanya, mengikut Akta SPRM 2009, KP SPRM yang dilantik mestilah terdiri daripada penjawat awam.

“Malah perlantikan ke jawatan itu mestilah dalam kalangan penjawat awam yang profesional, berwibawa, berpengalaman dan bersesuaian selain berintegriti tinggi serta bebas daripada sebarang pembabitan politik. Adakah Latheefa Koya termasuk dalam kategori mengikut akta dan sistem ini?

“Komitmen dan janji PH untuk tidak melantik ahli politik memegang sebarang jawatan dalam badan berkanun adalah amat disanjung, malah prinsip dipegang kerajaan juga tidak mencampuri sistem pentadbiran awam, justeru, kenapa melantik ahli politik yang aktif dalam perkhidmatan awam? Kenapa janji ini dimungkiri?” soalnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jais berkata, pelantikan jawatan penting itu dalam kalangan pegawai kanan SPRM atau setidak-tidaknya dalam kalangan hakim mahkamah persekutuan yang berwibawa adalah lebih praktikal.

“Ia demi memastikan SPRM sentiasa bebas dan profesional serta dipamerkan bebas daripada sebarang pengaruh luar terutamanya parti politik.

“Latheefa dilihat boleh membantu SPRM namun bukan sebagai Ketua Pesuruhjaya tetapi sebagai pengerusi salah satu jawatankuasa yang sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini khususnya membabitkan keanggotaan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah atau Jawatankuasa Aduan sebagai badan kawal selia integriti terhadap SPRM.

“Masih belum terlewat untuk kerajaan membuat perubahan. Dunia kini melihat Malaysia sebagai model memerangi rasuah kepada sebuah negara yang berwawasan membersihkan negara dari ancaman gejala itu.

“Bagaimanapun, perkara seperti itu boleh menyebabkan imej negara di mata dunia makin tergugat.

“MCW khuatir kedudukan negara dalam pelbagai indeks akan merosot kerana ketidakpatuhan kepada pelbagai konvensyen antarabangsa terutamanya Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC),” katanya.

Berita Harian X