Isnin, 15 Julai 2019 | 7:17pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto Aizuddin Saad

RUU Guaman Syarie tidak kurangkan kuasa Agong, Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 mendapat perkenan yang Yang di-Pertuan Agong sebelum di bawa ke Kabinet untuk diluluskan dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata oleh kerana RUU berkenaan hanya membabitkan dasar berkaitan Wilayah Persekutuan, ia tidak perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“RUU ini terpakai di Wilayah Persekutuan sahaja, maka cukup mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu itu bertujuan menetapkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie.

Selain itu, ia juga membolehkan pembentukan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

RUU itu diluluskan hari ini selepas dibahaskan 25 Ahli Parlimen.

Antara kebimbangan yang disuarakan kebanyakan Ahli Parlimen terutama pembangkang adalah penarikan keluar perkataan ‘kelulusan Yang di-Pertuan Agong’ yang sebelum ini termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505).

Mujahid berkata, jika RUU itu ingin dijadikan model bagi menggalakkan keseragaman pentadbiran agama antara negeri, ia boleh dilaksanakan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan sivil.

Katanya, kedua-duanya dikendalikan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan pentadbiran agama negeri melalui proses rundingan.

“Perkara sama juga boleh dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam, yang dianggotai semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dan Yang di Pertua Majlis Agama Islam Negeri.

“RUU ini tidak membelakangkan dan mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

“Saya memberi jaminan dalam hal pentadbiran agama Islam bahawa kita amat prihatin dengan kuasa Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mujahid berkata, Akta 505 digubal bagi penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang, penubuhan dan organisasi Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Katanya, RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 pula bertujuan mewujudkan lembaga kelayakan peguam syarie, badan guaman syarie dan majlis peguam syarie.

“RUU ini turut memasukkan peruntukan mengenai bidang kuasa peguam syarie, mengawal selia amalan dan tahap profesionalisme peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

“Justeru, hal perkara substantif dalam RUU ini hanya berkenaan profesion guaman syarie dan tidak membabitkan penguatkuasaaan dan pentadbiran agama yang ada dalam Akta 505,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu menteri mahu mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana RUU berkenaan sekadar penetapan menjalankan tugas kawal selia profesion guaman syarie tanpa mengurangkan kuasa sedia ada dalam Akta 505.

“Akta ini akan mula dikuatkuasa pada tarikh ditetapkan Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan warta dan permulaan penguatkuasaan boleh ditangguhkan jika didapati bercanggah dengan kuasa baginda,” katanya.

Berita Harian X