Selasa, 27 Ogos 2019 | 3:18pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad

KPM masih mengkaji kos, menu PSP - Maszlee

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan masih meneliti kos bersesuaian bagi pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata menu PSP yang sesuai juga sedang dikaji dengan mendapatkan pandangan pakar pemakanan daripada beberapa kementerian berkaitan dan universiti tempatan.

Katanya, satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi membincangkan secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan untuk melaksanakan PSP.

“Pada masa sekarang, kementerian sedang meneliti kos bersesuaian bagi memastikan semua murid dapat menikmati hidangan yang baik dan berkualiti.

“Penggunaan dana daripada cukai gula adalah sebahagian daripada cadangan akan diteliti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan nanti.

“Proses penentuan menu PSP pula dibuat dengan berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar pemakanan beberapa universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran status dalam akaun Facebook (FB) mengenai soalan lazim (FAQ) berkaitan PSP yang turut dirangkaikan dalam akaun Twitter beliau.

Semalam, Maszlee mengumumkan seramai kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Beliau berkata, langkah itu dibuat kerana di sebalik pemberian makanan percuma itu, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

Berdasarkan hantaran status FB itu, Maszlee berkata, PSP tidak akan membabitkan murid prasekolah dan sekolah menengah tetapi sajian makanan untuk murid prasekolah akan membabitkan tatacara perolehan berlainan.

Katanya, PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan berkenaan akan disediakan pengendali kantin sekolah.

Beliau berkata, cadangan waktu pelaksanaan PSP adalah selama 30 minit di antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang.

“PSP rintis dimulakan sejak awal bulan ini dan dijangka berakhir pada Oktober depan. Berdasarkan analisis PSP rintis ini, kementerian akan mengambil pendekatan bersesuaian untuk melaksanakannya secara lebih baik dan menyeluruh,” katanya.

Soalan lazim (FAQ) berkaitan PSP

1. Apakah tujuan utama pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP)?

Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

2. Siapakah kumpulan sasar bagi program ini?

Kumpulan sasar bagi program ini adalah semua murid warga negara sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan anggaran seramai 2.7 juta orang.

3. Bagaimana pula dengan murid prasekolah dan sekolah menengah?

Murid prasekolah dan sekolah menengah tidak terbabit untuk program ini dan makanan untuk murid prasekolah membabitkan tatacara perolehan yang berlainan.

4. Bilakah program ini akan mula dilaksanakan?

PSP akan mula dilaksanakan bermula pada sesi persekolahan tahun 2020.

5. Bagaimanakah PSP ini akan diuruskan nanti dan pihak mana yang bertanggungjawab unuk menyediakan sarapan ini?

PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terbabit.

6. Pada waktu bilakah PSP akan dilaksanakan pada setiap hari persekolahan?

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit di antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang.

7. Berapakah kos sarapan bagi setiap murid?

KPM sedang meneliti kos yang bersesuaian bagi memastikan semua murid dapat menikmati hidangan yang baik dan berkualiti.

8. Bagaimanakah KPM akan menentukan menu PSP ini dan menjamin kualitinya nanti?

Proses penentuan menu PSP adalah melalui perbincangan berterusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar pemakanan di beberapa universiti tempatan. KPM juga mengambil langkah bersesuaian melalui kerjasama dengan KKM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar pemakanan di universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan.

9. Adakah KPM melaksanakan sebarang projek rintis terhadap PSP?

Bagi menjamin pelaksanaannya dapat berjalan lancar, KPM sedang melaksanakan PSP rintis di beberapa sekolah. PSP rintis bermula sejak awal bulan ini dan dijangka berakhir pada Oktober depan. Berdasarkan analisis PSP rintis ini, KPM akan mengambil pendekatan bersesuaian untuk melaksanakan PSP secara lebih baik dan menyeluruh.

10. Bagaimana pula dengan peruntukan untuk melaksanakan PSP? Adakah ia akan menggunakan dana dari kutipan cukai gula?

Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi membincangkan secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan untuk program ini. Penggunaan dana daripada cukai gula adalah sebahagian daripada cadangan yang akan diteliti dalam Jawatankuasa ini.

Berita Harian X